fbpx

7 juta pengikut Instagram Siti

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini menjadi selebriti yang memiliki paling tinggi jumlah pengikut di laman sosial, Instagram (IG) iaitu 7 juta.

Meluahkan rasa terharu atas sokongan yang diberikan, Siti, 41, menyifatkan penambahan jumlah menunjukkan pengikutnya menggemari setiap perkongsian yang dimuat naik dalam laman sosial.

“Alhamdulillah, Siti gembira mendapat tahu berita ini. Ia bermakna peminat sayangkan Siti dan sentiasa mahu mengambil tahu perkembangan diri.

“Akaun IG digunakan bagi tatapan peminat, selain merapatkan hubungan. Siti berkongsi perkembangan kerjaya, kehidupan peribadi bersama keluarga dan apa sahaja aktiviti yang dilakukan.

“Siti juga mahu menjadikan laman IG ini sebagai sesuatu yang memberi manfaat kepada pengikut seperti berkongsi nasihat, kata-kata yang baik, bisnes, inspirasi dan jalinan silaturahim,” katanya kepada BH Online.

Tidak mahu akaun media sosialnya dicemari dengan aktiviti kurang sihat golongan ‘pembenci’, selain mengambil langkah berhati-hati, penyanyi Anta Permana itu memantau IG yang disifatkan sebagai rumah keduanya.

“Biasalah, tidak semua orang suka dan Siti akan berhati-hati dalam setiap perkongsian yang ingin dimuat naik. Siti anggap IG adalah rumah Siti.

“Jadi, apabila berada di rumah orang, kenalah ada adab dan tahu batasan.

“Sebelum menulis apa-apa, kita kena menilai terlebih dahulu apa yang dicoret supaya tidak meninggalkan kesan negatif kepada mana-mana pihak atau berlaku perkara berbangkit pada kemudian hari,” katanya yang kini sedang bercuti di Gold Coast, Australia bersama keluarga.

Sumber: Berita Harian

Foto: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews