fbpx

AJK Masjid Seri Petaling bantu berkomunikasi dengan peserta tabligh

KUALA LUMPUR: Pengurusan Masjid Sri Petaling di sini, akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk terus berkomunikasi dengan peserta ijtimak tabligh bagi memastikan mereka yang terbabit hadir menjalani ujian saringan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak pengurusan masjid itu mengadakan sesi sidang video petang tadi, bagi membincangkan situasi semasa jangkitan COVID-19 terutama berkaitan kluster dalam kalangan jemaah tabligh dan tindakan kementerian serta pihak masjid.

“Kementerian Kesihatan turut meminta peserta perhimpunan tabligh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

“Peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif COVID-19 mengikut mana yang terkemudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sidang video berkenaan turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon,

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Yusuf dan Ustaz Aziz Muhammad.

Hari ini, sebanyak 190 kes baharu positif jangkitan COVID-19 dicatatkan setakat jam 12 tengah hari tadi, kebanyakannya berkait ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, menjadikan jumlah kes positif wabak itu kepada 428 kes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata berdasarkan siasatan awal kementerian, kebanyakan kes baharu berkenaan adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling yang dianjurkan pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Petanda Verstappen bersara?

London: Ayah Max Verstappen berkata, anaknya mungkin bersara daripada Formula Satu (F1) selepas dia berjaya ‘mencapai segalanya’ setakat ini. Pelumba Belanda itu mengharungi musim cemerlang

Read More »