fbpx

COVID-19: Penganut Hindu sertai Masi Magam dinasihat jalani pemeriksaan

KUALA LUMPUR: Malaysia Hindu Sangam (MHS) menasihati penganut yang menghadiri sambutan keagamaan Masi Magam di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada Jumaat lalu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Presidennya, Datuk RS Mohan Shan berkata, meskipun setakat ini belum ada penganut yang menghadiri upacara itu disahkan positif wabak itu, namun mereka dinasihati untuk berbuat demikian sebagai langkah pencegahan awal.

“Sesungguhnya tindakan itu bukan untuk mencetuskan panik, namun adalah baik untuk melakukan pemeriksaan secara sukarela terutamanya mereka yang mempunyai gejala-gejala jangkitan wabak tersebut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jumaat lalu, kira-kira 30,000 penganut India dilaporkan menghadiri perarakan tahunan membawa patung Dewi Sri Singamuga Kaliamman ke laut.

Penganut Hindu yang menyertai upacara itu kemudian akan melepaskan lampu pelita berwarna-warni ke laut sebagai pelengkap acara ritual tahunan itu.

Menurut kepercayaan agama Hindu, Maasi bermaksud bulan mengikut kalendar Tamil manakala Magam pula adalah salah satu bintang daripada 27 bintang dalam sistem astrologi Hindu.

Perayaan yang diadakan untuk mendapat restu daripada Dewi yang dipercayai menjaga kawasan laut itu selalunya jatuh di antara bulan Febuari dan Mac.

Mengulas lanjut, Mohan Shan berkata, sebagai langkah segera, MHS telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada kira-kira 2,000 kuil berdaftar di seluruh Malaysia supaya menghindari daripada mengadakan sebarang sambutan keagamaan secara besar-besaran, buat masa ini sehingga notis sususlan.

Pun begitu katanya, upacara sembahyang yang diadakan di kuil pada setiap hari masih boleh diteruskan.

“Cuma saya sarankan supaya pengurusan kuil dapat menyediakan cecair pembasmi kuman dan memeriksa suhu badan di pintu masuk.

“Perkara ini bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak sebaliknya adalah untuk kesejahteraan semua orang,” jelasnya.

Sumber: astroAWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews