fbpx

Cipta memori baharu sambut Krismas dalam norma baharu

KOTA KINABALU: 24 Dis — Krismas akan disambut esok dan penganut agama Kristian termasuk di Sabah pastinya akan mencipta memori baharu apabila merayakan perayaan itu buat pertama kalinya dalam norma baharu ketika negara sedang berdepan pandemik COVID-19.

Maxwell Jude, 23, pelajar kejuruteraan kimia yang berasal dari Penampang dekat sini berkata Krismas tahun ini agak ‘sunyi’ daripada kemeriahan seperti sambutan tahun-tahun sebelumnya kerana beliau tidak dapat menghabiskan cuti bersama keluarga yang berada di negeri lain. 

“Dengan bilangan orang yang terhad dibenarkan untuk berkumpul, ia membuatkan perayaan tahun ini agak sunyi.

“Biasanya saya menyambut Krismas dengan berkumpul bersama keluarga terdiri daripada bapa saudara, ibu saudara dan sepupu di rumah nenek saya di Penampang.

“Bagaimanapun, tahun ini saya hanya menyambutnya bersama keluarga terdekat di Labuan memandangkan banyak peraturan yang perlu dipatuhi dalam norma baharu ini menjadikannya sukar walaupun untuk keluar dari pulau ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sambutan tahun ini perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan COVID-19.

“Malah, perhimpunan di gereja juga ada SOP untuk menjaga jarak fizikal dan kehadiran yang terhad pada satu-satu masa berbeza dengan sambutan sebelum ini apabila orang ramai boleh memenuhi gereja dan memeriahkan suasana perayaan Krismas,” katanya.

Maxwell berkata situasi norma baharu itu juga menyebabkan tidak ramai mengunjungi pusat beli-belah untuk membeli persiapan Krismas.

“Saya terkandas di Labuan dan pilihan agak terhad, saya hanya membeli-belah secara dalam talian untuk memilih pakaian baharu sempena Krismas,” katanya.

Raisa Jade Lawrence, 24, seorang guru bahasa Inggeris dari Kota Kinabalu di sini berkata terdapat perbezaan ketara apabila membandingkan sambutan Krismas dalam norma baharu dengan yang lama kerana perhimpunan kali ini tidak dapat dibuat secara besar-besaran dan nyanyian karol pula dilakukan dalam talian.

“Sebelum COVID-19, keluarga kami akan berada di satu rumah dan ahli keluarga lain akan datang membantu memasak hidangan tetapi malangnya, perkara itu tidak dapat dilakukan kali ini kerana perlu mematuhi SOP.

“Saya dan keluarga juga tidak banyak membeli-belah seperti tahun sebelum ini bersama keluarga kami di kampung. Ini menjadikan saya kurang bersemangat kerana kemeriahan membeli-belah persiapan untuk Krismas itu tidak sama seperti dahulu,” katanya.

Walaupun menghadapi pelbagai kekangan, Raisa dan Maxwell mencadangkan agar semua ahli keluarga yang jauh untuk menyebarkan kasih sayang melalui panggilan telefon semasa Hari Krismas ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun ketika menjelaskan mengenai SOP sambutan Krismas di Sabah baru-baru ini berkata tetamu hanya dibenarkan berada di dalam rumah tidak lebih daripada dua jam.

Masidi yang juga jurucakap rasmi kerajaan negeri mengenai COVID-19 berkata setiap sesi sembahyang dihadkan kepada satu setengah jam dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi dalam tempoh 45 minit sebelum waktu sembahyang seterusnya.

“Adalah diwajibkan untuk mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka sepanjang masa. Penggunaan tandas di gereja juga dihadkan berdasarkan jumlah tandas yang ada pada satu-satu masa,” katanya.

Gambar: sunshinekelly.com

Sumber: BERNAMA

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts