KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin mengesahkan dia tidak lagi akan bersama pasukan SAG Team pada Kejuaraan Dunia Moto2 musim depan.
Katanya, biarpun dia mempunyai baki kontrak bersama pasukan dari Sepanyol itu sehingga akhir musim depan, namun kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk berpisah dan tidak meneruskannya.
“Tahun ini adalah musim rookie yang sangat sukar bagi saya dan SAG selalu menyokong dan membantu saya sepanjang saya bersama mereka. Saya bersyukur dengan pengalaman dan bimbingan yang diberikan SAG kepada saya.
“Terima kasih juga kepada TKKR Racing Team, yang memberikan saya peluang ini pada 2020,” katanya menerusi hantaran di laman Instagram miliknya.
Pelumba dari Johor itu memberitahu ketika ini pihak pengurusannya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pasukan dalam saingan Kejuaraan FIM CEV Repsol dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bagi membolehkan dia meneruskan kerjaya musim depan.
“Pada masa sama, kami juga sedang berbincang dengan MAM (Persatuan Sukan Permotoran Malaysia) untuk mendapatkan bantuan kewangan untuk saya meneruskan kerjaya sebagai penunggang motosikal profesional,” katanya yang gagal meraih sebarang mata dalam 14 perlumbaan Moto2 musim ini.
Bulan lalu, penaja utama SAG, OneXOX TKKR dari Malaysia, memutuskan untuk tidak meneruskan penajaan pada musim depan.
Pasukan SAG bakal dikenali dengan nama baharu, Pertamina Mandalika SAG Team, selepas mereka menjalin kerjasama dengan Mandalika Racing Team (MRT) dari Indonesia dan bakal membuat kemunculan sulung pada Kejuaraan Dunia Moto2 musim 2021.
Sumber: Berita Harian