fbpx

Naim buat fisioterapi bahagian rahang

Kepala Naim Danial terhantuk ke bumbung kereta ketika kemalangan menyebabkan gusi berdarah dan rahang mula sakit.

KUALA LUMPUR: Ujian tidak akan berhenti selagi masih bernyawa. Namun, sebagai manusia biasa, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel reda dengan musibah yang menimpanya ketika berdepan kemalangan jalan raya, minggu lalu.

Kemalangan menyebabkan rahangnya terkehel, darah beku dalam gusi dan sakit bahagian punggung kerana terhentak. Kereta yang dipandu kakaknya ketika dalam perjalanan dari Semenyih menuju Sri Pentas, TV3 itu bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Naim berkata, rahang sebelah kirinya mula melarat dan bertambah sakit sejak kemalangan.

“Setakat ini, doktor menyarankan untuk tidak terbabit dengan sebarang kerja lasak. Saya memang kena banyak berehat. Saya kena makan ubat tahan sakit, selain buat fisioterapi pada bahagian rahang.

“Saya bersyukur sakit yang dialami tidak mengganggu tidur. Cuma, jika buka mulut ketika nak makan, gelak, menguap atau menyanyi, sakit bahagian rahang kiri mula terasa

“Sakitnya sampai tangkap ke telinga. Doktor beritahu berlaku kecederaan tisu pada bahagian rahang,” kata Naim yang tidak dapat hadir ketika majlis pelancaran single Lara kolaborasinya bersama dua teman baik, Haqiem Rusli dan Hael Husaini, Selasa lalu.

Penyanyi lagu Sembah dan Sumpah itu berkata, kepalanya terhantuk ke bumbung kereta ketika kemalangan.

“Gusi berdarah, cuma awalnya saya tak nampak kesan ketara. Saya mula rasa tak sedap pada rahang dan gusi selepas beberapa hari.

“Bagaimanapun, mengikut doktor, tempoh berehat berkemungkinan boleh tamat dalam minggu ini,” katanya kepada BH Online.

Biarpun dalam keadaan tidak menyenangkan, juara Anugerah Juara Lagu Ke-34 (AJL34) itu berkata, dia masih perlu melunaskan komitmen kerjaya seni yang sudah dipersetujui awal.

“Jadual kerjaya padat dan sudah ditetapkan sehingga Februari tahun depan. Saya masih mempromosikan single Purnama, tetapi kebanyakannya tak dapat buat kerana terbatas untuk menyanyi.

“Jadi, pihak pengurusan, World Peace Entertainment hanya menghantar video muzik sebagai ganti untuk urusan promosi yang diatur.

“Sejujurnya, ia memang mengganggu kerjaya saya. Saya agak tertekan juga, tetapi apakan nak melawan ujian ini. Saya makin risau kerana terbabit dalam Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2020 pada 27 Disember ini,” katanya.

Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, dia jenis yang tidak betah duduk diam.

“Saya berdoa supaya cepat sembuh. Sedih juga banyak benda tak boleh nak buat dan ada kekangan.

“Saya pula jenis aktif, memang serba tak kena jadinya apabila terlalu lama berehat di rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Naim juga memanjat kesyukuran peminat dan teman tersayang terus mendoakan kesejahteraannya.

Terdahulu, Pengarah Urusan, World Peace Entertainment, Usaid Hamdi yang mewakili Naim ketika sidang media Lara memaklumkan penyanyi itu dinasihatkan doktor berehat selepas kesakitannya semakin teruk, sejak Isnin lalu.

“Naim hanya bertahan dengan ubat penahan sakit sejak kemalangan. Naim masih nak meneruskan kerja, tetapi mengadu rahang bertambah sakit, Isnin lalu. Jadi, doktor menasihatkan memberi ruang untuk Naim berehat buat sementara waktu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews