KUALA LUMPUR: Kebakaran dua gerabak monorel di Stesen Monorel Maharajalela pagi tadi berpunca letupan satu daripada 64 tayar tren berkenaan.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan satu tayar tren empat gerabak itu meletup dipercayai berpunca daripada tekanan angin tayar rendah sebelum terbakar.
“Tiada penumpang yang cedera kerana semua selamat diturunkan di Stesen Maharajalela sebelum kebakaran itu berlaku kira-kira 7.15 pagi tadi.
“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dapat memadamkan kebakaran sepenuhnya pada jam 8.56 pagi,” kata kenyataan itu.
Menurut pengendali perkhidmatan laluan monorel Rapid KL itu, perkhidmatan tren ulang-alik diaktifkan jam 7.38 pagi untuk perkhidmatan antara Stesen Titiwangsa dan Stesen Hang Tuah bagi kemudahan pelanggan terjejas.
“Pada masa sama, perkhidmatan van perantara percuma turut disediakan untuk membawa penumpang antara Stesen Monorel KL Sentral, Tun Sambathan dan Maharajalela.
“Tren yang terbakar kemudian ditunda keluar dari Stesen Maharajalela pada jam 10.59 pagi ke depoh untuk siasatan lanjut,” katanya.
Penumpang yang terbabit dalam insiden itu sudah ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter Monorel KL.
“Rapid KL kesal dan memohon maaf atas insiden berkenaan dan kesulitan yang berlaku,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, bomba dalam kenyataan hari ini memaklumkan kebakaran itu membabitkan kepala monorel dan satu gerabak penumpang yang menghala ke KL Sentral.
Sepasukan 21 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Pudu dikejarkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.
Sumber: Berita Harian