fbpx

The Call, Korea Selatan terus ‘ajar’ Hollywood

APA yang boleh dilakukan sekiranya sebuah telefon ‘lama’ boleh membawa anda ke masa silam, secara spesifiknya 20 tahun lalu? Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang mengubah apa yang telah terjadi.

Itu antara intipati yang mulanya terasa klise dalam naskhah terbaharu Korea Selatan menerusi Netflix berjudul The Call, lakonan mantap dua aktres hebat, Park Shin-hye dan Jeon Jong-seo.

Untuk 10 hingga 15 minit pertama, penulis agak skeptikal dengan perjalanan filem tersebut, namun jangkaan ternyata meleset selepas itu. Jika digambarkan dalam garisan graf, cartanya menaik atau meroket sempurna. The Call bukan filem horror atau thriller klise, namun sebuah karya dengan kualiti tersendiri.

PARK SHIN-HYE membawakan watak utama sebagai Seo-yeon yang bermain emosi dengan cemerlang.

Apa yang penulis suka tentang The Call, bukan sahaja menonjolkan kualiti lakonan yang dicernakan semua pelakon terlibat terutama Shin-hye yang memegang peranan sebagai Seo-yeon dan Jong-seo (Young-sook). Bahkan mencakupi aspek teknikal seperti visual, bunyi dan sinematografi.

The Call bukan filem hantu, sebaliknya sebuah karya bernuansa thriller atau horror yang turut dilengkapkan dengan elemen time-travel atau dalam istilah bahasa Melayu, rentas masa.

Penamat

Menonton filem ini, penulis tidak senang duduk dek situasi mencemaskan, terutama babak yang melibatkan Seo-yeon dan Young-sook.

Mereka yang terlibat dalam penghasilan visual, bunyi dan sinematografi wajar diberikan pujian. Kerja yang penuh teliti dan berkualiti. The Call satu lagi tanda aras untuk sebuah terjemahan daripada pengkarya Korea Selatan yang semakin hari, semakin menjadi-jadi fenomenanya.

Lee Chung-hyun yang duduk di bangku pengarah menjalankan tugas dengan cemerlang. Dia tahu benar bagaimana untuk menghasilkan sebuah filem thriller yang penuh elemen jumpscare dan membuatkan penonton sesak nafas.

Berbalik soal kualiti lakonan, kombinasi antara Shin-hye dan Jong-seo memang terbaik. Sebagai seorang peminat genre thriller, setiap dialog, tawa dan rintihan yang dimainkan dua pelakon itu cukup berbekas di hati.

BABAK mencemaskan antara Young-sook dengan ibu tirinya, Ja-ok (atas) yang mengamalkan ilmu hitam.

Sedikit spoiler, penulis cukup terkesan dengan banyak adegan terutama semasa Young-sook menyiram air panas menggelegak ke bahagian kaki Seo-yeon versi kanak-kanak. Begitu juga dengan pergelutan klimaks yang melibatkan dua pendukung utama tersebut dan ibu kepada Seo-yeon.

Sebenarnya, ramai yang tidak berpuas hati dengan penamat filem ini. Ada yang berpendapat, sudah cantik ‘terletak’ penamatnya. Namun, mengenali pengkarya dari Korea Selatan, mereka tidak berapa gemar dengan pengakhiran bahagia.

Reputasi Chung-hyun mungkin sedikit tercalar, ada juga yang beranggapan dia terlalu mencuba demi sekuel seterusnya. Bagaimanapun, itu adalah isu yang subjektif. Ada yang suka, ada juga yang tidak suka.

Dari satu segi, The Call memberi tamparan hebat kepada pengkarya Hollywood. Sejak akhir-akhir ini, Korea Selatan semakin mendominasi industri global bukan sahaja dari segi perfileman bahkan muzik. Lihat sahaja kemaraan nama-nama ciptaan mereka seperti BTS dan BLACKPINK. Terdahulu, filem Parasite juga membina empayar tersendiri dengan mendominasi Oscar.

 

Sumber: Kosmo!

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Polis buru suspek pecah rumah

Tanah Merah: Polis memburu seorang suspek disyaki memecah masuk rumah di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau dan melarikan wang tunai serta barang berharga dianggarkan bernilai

Read More »
Kwiknews