fbpx

Warga Malaysia sendirian enam bulan terlantar sakit di hospital Australia

KUALA LUMPUR: Terlantar sakit di katil hospital bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga selama enam bulan bukan satu perkara yang mudah untuk dilalui oleh sesiapa sahaja.

Apa lagi terasing di negara luar tanpa seorang pun ahli keluarga atau kenalan yang dapat hadir menemani atau menjenguk untuk bertanya khabar.

Demikian nasib seorang rakyat Malaysia, Khaidir Abu Jalil, 34, yang melalui lara kesunyian dan meratapi kesakitan sendirian di Hospital St Vincent’s, Sydney, Australia sejak setengah tahun lalu.

Disahkan menghidap dermatomyositis oleh doktor yang merawatnya, portal berita The Sydney Morning Herald melaporkan, Khaidir menghidap penyakit autoimun yang jarang berlaku itu dengan peluang untuk hidup pada kadar 50 peratus.

Apa yang menyedihkan, tidak pernah ada walau seorang kenalan yang menziarahinya sepanjang dirawat di hospital berkenaan.

Dia tidak mengenali sesiapa di kota itu dan keluarganya pula jauh di Malaysia yang tidak dapat diakses sama ada melalui telefon atau internet, lapor portal itu.

“Kami terkejut kerana usianya hanya 34 tahun, prognosisnya sangat lemah, disebabkan terlalu sakit dia menjalani rawatan intensif dan tiada seorang pun pelawat yang dapat bersama-sama dengannya,” kata Dr Laila Girgis, Ketua Reumatologi Hospital St Vincent’s kepada portal berkenaan.

Keterasingan Khaidir mencetuskan kebimbangan dalam kalangan doktor yang merawatnya kerana bimbang situasi itu akan menyebabkan dia lambat pulih.

Dalam masa sama, doktor-doktor juga memaklumkan belum pernah mereka merawat pesakit yang bersendirian.

Menurut Dr Girgisg, Khaidir mula sakit pada Februari lepas, namun, bekas jurutera itu hanya mula mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sekitar lima bulan kemudian.

Dan sejak bulan Februari juga, berat badan Khaidir susut separuh daripada berat asalnya sehingga 42 kilogram manakala suhu badan lelaki itu pula mencecah 40 darjah Celsius setiap hari.

Kesan daripada penyakit yang dideritainya, tangan dan siku Khaidir dipenuhi kesan luka nekrosis atau disebut ‘Gottron papules’yang menyebabkan luka hitam dan memeritkan.

“Kesan lain ialah paru-paru Khaidir terjejas dan sudah beberapa kali terpaksa dikenakan resusitasi ketika di unit rawatan rapi (ICU),” kata Dr Girgis kepada The Sydney Morning Herald lagi.

Kata Dr Girgis lagi, keadaan Khaidir agak kritikal dan teruk ketika dia tiba dari sebuah hospital lain.

Menurut portal itu, Khaidir ada memberitahu dia kehilangan pekerjaan sebagai jurutera pembinaan di Melbourne ekoran wabak COVID-19 melanda.

Apa yang membuatkan hidupnya lebih sulit ialah status visanya tidak diketahui sekali gus menyebabkan dia menjadi gelandangan ekoran kontrak sewa pangsapurinya tamat.

Pandemik COVID-19 juga membuatkan hidupnya semakin melarat apabila tiada keluarga atau rakan yang boleh mengunjunginya di sana.

Khaidir dilaporkan berkunjung ke Australia untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya di Malaysia.

Selepas enam bulan dirawat di hospital berkenaan, Khaidir dilaporkan semakin pulih.

Dalam wawancara dengan wartawan portal berkenaan, Khaidir berkata, dalam usaha mengumpul semangat dan kekuatan berjuang, dia sering melihat swafoto (selfie) dirinya yang dirakamkan ketika sakit.

“Saya tidak mahu terus begitu (sakit). Untuk motivasi, saya lihat gambar yang saya ambil sebelum ini. Saya mahu teruskan kehidupan. Dalam gambar itu saya (kelihatan) sangat sakit dan terlalu kurus,” kongsi Khaidir.

Khaidir dijangka dibenarkan keluar dari hospital pada Hari Krismas ini, namun masa depannya tidak menentu sekalipun dia semakin pulih.

Dia hanya mempunyai masa dua minggu untuk tinggal di rumah perlindungan gelandangan yang dikendalikan oleh St Vincents di Darlinghurst.

Astro AWANI telah berhubung dengan pejabat perwakilan Malaysia di Canberra, Australia bagi mendapatkan perkembangan terkini Khaidir dan sedang menanti maklum balas.

Gambar: The Sydney Morning Herald
Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts