fbpx

Syarikat pengeluar sarung tangan, 2 anak syarikat berdepan 30 pertuduhan

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pengeluar sarung tangan dan dua anak syarikatnya berdepan 30 pertuduhan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan, dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kesalahan itu dikesan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam operasi penguatkuasaan di Klang, Selangor pada 21 Disember lalu.

Menurut kenyataan itu, antara kesalahan adalah kegagalan majikan mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah JTKSM mengikut Seksyen 24D Akta 446 dan pelanggaran peraturan di bawah akta sama.

Syarikat terbabit juga didapati melanggar peraturan mengikut Akta 446 membabitkan penyediaan kemudahan yang tidak memenuhi spesifikasi standard minimum yang ditetap iaitu Jadual Subperaturan 3 (1)(2)(i) Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

“JTKSM kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan sebanyak 22 pertuduhan dibuka terhadap syarikat induk dan anak syarikatnya manakala satu lagi anak syarikatnya akan berdepan lapan pertuduhan.

“Semua kertas siasatan kini di peringkat akhir penyediaan sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya. Jika sabit kesalahan akan dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 bagi satu kesalahan,” menurut kenyataan itu.

KSM menegaskan, sebarang pelanggaran atau ketidakpatuhan Akta 446 serta peraturan di bawahnya tidak akan dikompromi.

Justeru, KSM menyeru mana-mana majikan dan penyedia penginapan berpusat yang belum lagi membuat sebarang permohonan Perakuan Penginapan supaya segera berbuat demikian bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.

Gambar: Nikkei Asia

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts