fbpx

Cools paling mahal

KUALA LUMPUR: Jika ada anugerah pemain Malaysia paling mahal sepanjang tahun 2020, sudah pastinya ia milik pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools yang kini beraksi di Liga Denmark bersama FC Midtjylland.

Cools, 24, yang tidak berdepan masalah untuk menyarung jersi Harimau Malaya berada pada nilai 900,000 euro atau sekitar RM4.4 juta mengikut data dari laman Transfermarkt.Dia yang beraksi di posisi pertahanan kanan sememangnya layak memegang status pemain termahal negara pada tahun ini selepas dia beberapa kali turun beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) termasuk ketika berdepan Liverpool dalam Kumpulan D.

Biarpun belum pernah membuat kemunculan bersama pasukan kebangsaan, namun statusnya sebagai pemain kacukan membolehkan dia untuk berada dalam senarai pemain yang paling dinantikan-nantikan oleh seluruh peminat bola sepak tanah air.

Nilai itu turut mengenepikan seorang lagi pemain kacukan, Natxo Insa yang kini beraksi buat Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan nilai 325,000 euro (RM1.6 juta) diikuti Matthew Davies dan Brendan Gan masing-masing dengan 300,000 euro (RM1.5 juta).

Bintang bola sepak negara, Safawi Rasid juga bernilai 300,000 euro (RM1.5 juta) di mana pemain sayap itu kini sudah pulang ke pangkuan JDT selepas meninggalkan kelab Portugal, Portimonense SC.

Tanda harga Safawi itu turut dikongsi oleh seorang lagi pemain Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat iaitu Wan Kuzain Wan Kamal yang sebelum ini beraksi dengan Sporting Kansas City di Major League Soccer (MLS).

Bagaimanapun, nilai Luqman Hakim Shamsudin pula dicatatkan agak rendah pada harga 150,000 euro (RM743.000) walaupun dia sudah meraih debut pertama di Liga Belgium ketika kelabnya KV Kortrijk menentang RCS Anderlecht pad

a 24 Oktober lalu.

Menurut Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, tanda harga tinggi yang diletakkan pada Cools bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana pemain itu sudah berada pada tahap tertinggi apabila beraksi di UCL.

“Kelab yang dia (Cools) main bukanlah pada tier satu seperti La Liga, EPL (Liga Perdana Inggeris) mahupun Bundesliga. Tapi disebabkan dia sudah beraksi di UCL menentang kelab ternama, secara tak langsung ia memberi kesan kepada ‘saham’ pemain itu,” katanya.

Sementara itu, bagi status tonggak naturalisasi pula, tanda harga pemain tengah JDT, Liridon Krasniqi dilihat lebih mahal dengan 350,000 euro (RM1.7 juta) berbanding Mohamadou Sumareh pada nilai 275,000 euro (RM1.4 juta).

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews