fbpx

Dr Adham luang masa tinjau kelengkapan saringan COVID-19 di KLIA sebelum ke Langkawi

PUTRAJAYA, 30 Dis — Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini meluangkan masa meninjau kelengkapan saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum berlepas ke Langkawi atas urusan rasmi.

Dr Adham dalam satu hantaran di laman sosial Facebook ‘Friends Of Dr Adham Baba’, juga sempat menyantuni petugas-petugas barisan hadapan yang berkhidmat di lapangan terbang antarabangsa itu.

Tinjauan berkenaan juga untuk melihat sendiri penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), amalan norma baharu, serta keperluan menambah baik kelengkapan kesihatan di KLIA, susulan perjumpaan dengan Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam, bagi membendung pandemik COVID-19.

“Terima kasih barisan hadapan negara yang bertugas dengan komited, demi memastikan rakyat Malaysia bebas daripada pandemik COVID-19,” kata Dr Adham dalam hantaran di Facebook itu.

Difahamkan Dr Adham ke Langkawi untuk menemui petugas kesihatan dan meninjau sistem serta kelengkapan program teknologi hijau di Hospital Sultanah Maliha (HSM), yang menerima Anugerah Antarabangsa LEED (Leadership in Energy and Environmental Design) 2020.

Selain itu, Dr Adham juga akan mendengar taklimat status sistem kesihatan di Langkawi, untuk mengetahui keperluan semasa dan akan datang, melawat Pejabat Kesihatan Daerah, meninjau keadaan dan petugas Klinik Kesihatan Temoyong dan Klinik Kesihatan Ayer Hangat.

Sumber: BERNAMA

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts