fbpx

MAHB, UiTM lancar buku manual kecergasan anggota bomba lapangan terbang

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam menerbitkan buku manual kecergasan bagi perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) seluruh Malaysia.

Manual Kecergasan AFRS setebal 142 muka surat itu disediakan pakar kecergasan dan pemakanan daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM.

Selain disertakan ilustrasi senaman, manual itu juga memaparkan kaedah amalan kecergasan, aspek kecederaan fizikal dan pemulihan kecederaan fizikal serta aspek pemakanan yang boleh diamalkan sebagai rutin harian setiap anggota AFRS.

Penyerahan rasmi Manual Kecergasan AFRS berlangsung di Ibu Pejabat MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bersempena majlis penutup program kecergasan AFRS dikenali I’m Fit 2020.

Pengurus Besar AFRS, Abd Malik Mohd Yunus, berkata buku manual itu diterbitkan selaras kepentingan kecergasan fizikal bagi pegawai operasi pasukan itu secara keseluruhannya.

“Keperluan asas kecergasan umum dapat mengekalkan kesihatan dan kelestarian setiap anggota AFRS sama ada ketika masih berkhidmat atau selepas tamat perkhidmatan.

“Pihak pengurusan AFRS memandang berat kepentingan membina program latihan kecergasan yang sistematik. Justeru, buku manual kecergasan ini dapat merealisasikan hasrat itu melalui panduan latihan sistematik,” katanya semasa berucap pada majlis terbabit.

Majlis disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, dengan turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi MAHB, Datuk Azmi Murad.

Pengarang buku manual berkenaan, Prof Madya Dr Sarimah Ismail, berkata tahap kecergasan lemah akan menjejaskan fungsi mental dan kemampuan fizikal individu untuk bertindak balas dalam persekitarannya dan ia memberi impak besar kepada organisasi.

Justeru, katanya kerjasama antara FSR UiTM dan AFRS MAHB disifatkan situasi ‘menang-menang’ dalam menggabungkan kepakaran bagi menjamin kelestarian kesihatan anggota AFRS.

Penulis buku ini terdiri Prof Madya Dr Raja Firhad Raja Azidin (Kecergasan dan Suaian Fizikal), Prof Madya Dr Hasbullah Ismail (Fisiologi Senaman Klinikal), Prof Madya Zulkifli Kadir (Senaman Kesihatan) dan Dr Razali Mohamed Salleh (Pemakanan).

Sumber: BH Online

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts