fbpx

Menteri minta maaf pada Dayang Nurfaizah isu calitan COVID-19

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, memohon maaf secara peribadi kepada Dayang Nurfaizah ekoran penyanyi itu diminta melakukan isu calitan COVID-19 kali kedua

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, memohon maaf secara peribadi kepada penyanyi Dayang Nurfaizah.

Permohonan maaf itu dibuat susulan tindakan pihak tertentu dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang meminta penghibur kelahiran Bumi Kenyalang itu menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua selepas memasuki Sarawak.

Menurut Abdul Karim, Dayang Nurfaizah sudah melalui ujian saringan di Semenanjung sebagai syarat wajib untuk mendapat pelepasan.

“Untuk kes tertentu dikecualikan daripada kuarantin dan boleh berada di dalam negeri itu dalam tempoh 72 jam dengan syarat mesti menjalani ujian saringan di semenanjung,” katanya dalam sidang media New Year Countdown 2021 di Stadium Tertutup Petra Jaya, di sini, pada Selasa.

Bagaimanapun, kakitangan tertentu dalam JPBNS, tegas beliau, telah melakukan saringan kali kedua dan mengenakan kuarantin kepada Dayang Nurfaizah walaupun dia sudah melalui proses tersebut.

“Dia telah melalui semua prosedur yang telah ditetapkan tetapi tetap diberikan arahan untuk menjalani ujian saringan dua kali dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta dan Di Pintu Syurga itu telah melakukan ujian saringan pada 25 Disember lalu di Semenanjung dan memasuki Sarawak tiga hari kemudian serta telah mendapat pengesahan pengecualian daripada Pengerusi JPBNS.

Penghibur berkenaan kembali ke kampung halamannya atas jemputan untuk membuat persembahan semasa Sambutan Tahun Baru, New Year Countdown 2021, di sini pada 31 Disember ini.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts