LONDON: Frank Lampard sedar apa yang diperlukan untuk menjadi pengurus Chelsea di bawah Roman Abramovich lebih daripada pengalaman bermain di bawah sembilan jurulatih berbeza ketika kariernya di Stamford Bridge.
Kini Lampard pula mengetuai senarai mungkin disingkir selepas kekalahan 3-1 awal pagi tadi di tangan Manchester City yang melengkapkan hanya satu kemenangan dalam enam perlawanan lalu melenyapkan harapan untuk mencabar gelaran Liga Perdana.
Lebih banyak harapan ditabur terhadap Blues selepas berbelanja £220 juta (RM1.204 bilion) pada pasaran perpindahan ketika kuasa besar bola sepak Eropah mengurangkan belanja berikutan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Selepas membeli Kai Havertz, Timo Werner, Hakim Ziyech, Ben Chilwell dan Edouard Mendy, Abramovich menjangkakan kedudukan lebih baik buat Chelsea berbanding kelapan dalam liga pada pertengahan musim.
Kesabaran bukanlah sesuatu yang dimiliki jutawan dari Russia itu yang sudah 18 tahun memiliki Chelsea, malah legenda seperti Lampard, yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu, tampak sukar ditawarkan lebih banyak masa untuk menukar keadaan.
Athletic melaporkan semalam bahawa Chelsea sudah menyenaraikan pengganti sesuai sekiranya pengurus berusia 42 tahun itu dipecat.
Lampard tidak memiliki dana di bank daripada musim pertamanya yang membawa kembali kelab itu ke Liga Juara-Juara walaupun dilarang melakukan urus niaga ketika perpindahan dan menjual Eden Hazard ke Real Madrid.
Namun jangkaan berubah sejak perbelanjaan besar pada musim panas, walaupun Lampard sentiasa berkata Chelsea perlu lebih banyak perlawanan untuk mencapai tahap diletakkan Liverpool dan City sejak musim kebelakangan ini. – AFP
Sumber: Berita Harian