fbpx

Mangsa pertama bot terbalik Sungai Jelai ditemukan lemas

KUANTAN: 5 Jan  — Mayat seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya terbalik di Sungai Jelai, Kampung Bertang di Lipis, kira-kira 245 kilometer dari sini, semalam, ditemukan di tebing sungai berkenaan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata mayat Rozi Omar, 52, ditemukan tersangkut di celah pokok pisang, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian, pada 9.45 pagi. 

“Usaha mencari dan menyelamat seorang anak perempuan mangsa yang juga dilaporkan hilang diteruskan.

“Jenazah Rozi dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini. 

Rozi dilaporkan hilang bersama anaknya Nur Zakirah Ahmad Hussin, 19, selepas bot dikemudi suaminya, Ahmad Hussin Mad Aris, 52, terbalik akibat arus deras semasa mereka menuju ke Kampung Betong, bagi meninjau keadaan rumah mereka yang dilanda banjir. 

Turut berada di atas bot itu ialah seorang lagi anak mangsa, Nur Aina, 23, namun dia dan bapanya berjaya menyelamatkan diri.

Sumber: BERNAMA

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts