fbpx

Wajah anak Fazura, Fattah viral

KUALA LUMPUR: Rutin kehidupan aktres popular, Nur Fazura berubah 360 darjah selepas menimang cahaya mata pertama, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober lalu.

Tiada kata-kata dapat menggambarkan kebahagiaan kehidupannya. Hanya rasa syukur yang mampu dipanjatkan atas segala kurniaan dan rezeki dilimpahkan kepadanya selama ini.

Memiliki suami penyayang, kerjaya seni dan perniagaan yang stabil, selain dikurniakan cahaya mata perempuan yang comel sebagai pelengkap bahtera rumah tangga cukup membuatkan kehidupan Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-27 itu sempurna.

Jika sebelum ini masanya banyak dihabiskan dengan kerjaya lakonan ataupun bisnes yang diusahakan, kini selepas bergelar ibu, kehidupan pelakon filem Dendam Pontianak ini berubah serta-merta.

Berkongsi detik itu bersama BH Online, Fazura mengakui, seronok dengan gelaran baru digalasnya itu.

“Tidak dinafikan, pengalaman kali pertama menjadi ibu sangat mencabar. Ini kerana banyak perkara yang saya belum tahu terutama apabila anak menangis malam. Ketika awal kelahiran, Fatima kerap bangun malam untuk menyusu.

“Jika menangis pun, sebab nak menyusu. Saya bersyukur Fatima bukannya jenis yang banyak meragam, tak susah untuk menjaganya. Saya bernasib baik mama dan ibu mentua banyak membantu sejak saya bersalin, berpantang hinggalah sekarang.

“Kini, selepas tiga bulan melahirkan, saya sudah boleh membiasakan diri dengan rutin harian. Saya seronok menjalankan tugas seorang ibu,” katanya.

Pengalaman kali pertama bergelar ibu agak mencabar buat Nur Fazura apabila puterinya, Nur Fatima Aisya menangis malam mahu menyusu. - Foto IG Nur Fazura
Pengalaman kali pertama bergelar ibu agak mencabar buat Nur Fazura apabila puterinya, Nur Fatima Aisya menangis malam mahu menyusu. – Foto IG Nur Fazura

Malam tahun baharu lalu, Fazura dan suaminya, Fattah Amin buat julung kalinya mendedahkan wajah buah hati pengarang jantung mereka kepada umum menerusi akaun Instagram (IG) rasmi termasuk IG yang memaparkan kehidupan keluarga kecil iaitu @fattzuralovelife.

Menerusi foto itu, Fazura menggendong puteri kesayangan yang mengenakan gaun berenda rona krim dan bertopi dengan warna senada. Seperti dijangka, gambar keluarga bahagia itu pantas menjadi tular dan menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen.

Mengulas perkara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Sayangi Dirimu dan Bisa Apa itu berkata, keputusan mendedahkan wajah puteri kesayangan itu dibuat atas permintaan peminat yang tidak sabar melihat cahaya mata mereka.

“Kalau diikutkan, saya dan Fattah tidak merancang mendedahkan wajah Fatima dalam masa terdekat ini. Namun, atas permintaan peminat dan menghargai setiap doa diberikan, jadi kami mengambil keputusan untuk menunaikan janji berkongsi wajah Fatima bersama insan sekelilingnya.

“Kami pilih untuk berkongsi pada jam 12 malam kerana pada tarikh 1 Januari 2021, jatuh pada Jumaat. Fatima juga lahir pada Jumaat. Lagipun, selepas tiga bulan dilahirkan, kami berasakan tempoh ini sudah cukup sesuai untuk kami berkongsi kegembiraan bersama peminat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts