Berikutan jumlah kes jangkitan Covid-19 tempatan yang masih membimbangkan, semestinya membuatkan ramai berat hati untuk keluar bekerja. Demikian juga dirasakan pelakon Amy Mastura yang setiap hari bimbang jika terbabit dengan penggambaran.
Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi, 49, mengakui bukan mudah untuk menepis perasaan itu walaupun kerja tetap kena jalan. Apalagi jika harus berjumpa dengan ramai orang.
Menurutnya, itulah yang dialami sewaktu menjalani penggambaran drama Hadiah Dari Tuhan baru-baru ini. Dalam pada teruja dapat kembali bekerja, dia mengakui terpaksa berdepan segala kemungkinan sebaik keluar rumah.
“Keluar ke tempat penggambaran pun, hati sudah naik risau. Maklumlah, sebaik melangkah keluar dari rumah, kita serta-merta terdedah dengan persekitaran sekeliling. Kita pun tak nampak virus itu.
“Kemudian, apabila bertemu dengan peminat di luar pula yang mahu bergambar, terpaksa kena buka pelitup muka. Nanti kalau tak buka, mereka risau pula tidak dipercayai bergambar dengan kami,” katanya.
Bagaimanapun, kebimbangan Amy lebih memuncak sekiranya kejadian lebih buruk menimpa dirinya serta semua yang terbabit dalam penggambaran itu.
“Paling saya risau adalah berjumpa kepada pembawa virus itu. Tapi itulah, kalau nak jadi memang akan jadilah. Kalau dilindungi, syukurlah pasti akan dilindungi. Apapun, mujur tiada apa-apa berlaku sepanjang tempoh itu,” katanya.
Berkongsi mengenai projek terbarunya itu, Amy berkata, dia menerima untuk terbabit dalam Hadiah Dari Tuhan kerana jalan ceritanya yang menarik. Mana tidak, drama itu berkisar sepenuhnya mengenai barisan hadapan pada waktu pandemik ini.
Namun begitu, dia mengakui ada berdepan cabaran juga selepas lama tidak kembali ke set penggambaran. Paling dirasai adalah untuk menghidupkan emosi watak Jannah, seorang jururawat yang dilakonkannya.
“Watak saya sebagai Jannah adalah seorang anggota barisan hadapan yang ditinggalkan suami. Memang kehidupannya secara peribadi banyak cabaran yang membuatkan emosinya pun sentiasa tak menentu.
“Bahagian itulah sebenarnya yang agak mencabar buat saya. Mujur penjiwaan untuk Jannah banyak dibantu produksi dan saya juga sudah membuat persiapan sebelum ke set penggambaran,” katanya.
Memandangkan drama itu berdasarkan situasi semasa, Amy juga tidak menafikan pemakaian pelitup muka sepanjang masa antara cabaran terbesar. Sebagai pelakon, dia benar-benar melihat kaedah itu agak menyulitkan.
“Bukan rimas sebab memang hakikatnya kita kena pakai pelitup muka demi keselamatan. Namun, apabila berlakon, ia akan menyulitkan kami dari segi keberkesanan ekspresi wajah.
“Apabila memakai pelitup muka, hanya tinggal mata yang nampak dan sangat sukar untuk tunjukkan emosi secara keseluruhannya. Namun, kami berusaha untuk melunaskan cabaran itu demi pamerkan perasaan yang berkesan untuk watak masing-masing,” katanya.
Oleh kerana membabitkan kisah barisan hadapan, semestinya merisaukan jika jalan cerita Hadiah Dari Tuhan tidak nampak realistik. Paling membimbangkan, apabila ia menyentuh sensitiviti pihak tertentu.
Amy bagaimanapun yakin bahawa karya itu sudah diteliti sebaiknya oleh produksi. Dia juga memohon maaf terlebih dulu jika ada babak dalam cerita itu yang mungkin akan menyakiti penonton kelak.
“Sebenarnya, semua lancar dan saya percaya hasilnya sudah dilakukan dengan terbaik oleh produksi termasuk pengarah serta penulis skrip. Apapun, kalau ada sesiapa yang mungkin terguris kelak, saya minta maaf siap-siap,” katanya.
Drama arahan Fairuz Loy dan skrip oleh Rohizan Ramli itu disiarkan bermula 30 Disember lalu, setiap Rabu hingga Sabtu, di slot Lestary TV3. Selain Amy, turut membintanginya adalah Riena Diana, Izreen Azminda, Sophia Barakbah, Dynas Mokhtar, Syafi Tee dan Fezrul Khan.
Sumber: Harian Metro