fbpx

Lima maut akibat banjir, cetus persoalan isu kesedaran awam

KUALA LUMPUR: Lima individu dilaporkan maut, manakala dua hilang susulan kejadian banjir di beberapa negeri, baru-baru ini, sekali gus mencetuskan persoalan tahap kesedaran rakyat terhadap aspek keselamatan apabila berdepan bencana alam itu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata sehingga jam 8 pagi tadi, tiga kematian dilaporkan dengan dua kes hilang di Pahang, manakala baki kes maut di Johor.

“Menjadi satu persoalan terhadap statistik kematian yang tinggi. Sebab itu, saya nasihat supaya golongan terjejas banjir tidak mengambil tindakan secara sendiri, sebaliknya hubungi pihak berkuasa untuk proses pemindahan secara selamat.

Lima kematian akibat banjir termasuk hilang mencetus persoalan mengenai kesedaran orang ramai terhadap bencana alam itu – Mohammad Hamdan. FOTO: Harian Metro

“Golongan remaja dan kanak-kanak disaran tidak bermain air kerana dikhuatiri dibawa arus. Mereka yang dipindahkan pula pastikan kunci rumah masing-masing.

“Kita terima laporan ada yang berpatah balik untuk periksa rumah mereka, ini yang mengundang insiden tidak diingini. Kita turut sedia maklum ada rumah anggota bomba ditenggelami air, hal kebajikan mereka akan sentiasa diberi perhatian,” katanya pada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan, berkata pihaknya mengenal pasti kira-kira 250 lokasi panas atau ‘hotspot’ di seluruh negara, sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku banjir hingga Mac ini.

Katanya, banjir di kawasan itu dijangka berlaku kerana musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL), selain rekod kejadian sama sebelum ini serta kajian dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pusat ramalan cuaca.

“Kita ada kekuatan lebih 12,500 pegawai dan anggota bagi membantu dan memantau isu banjir di seluruh negara. Setakat ini, kita tidak bekukan cuti anggota, hanya akan berbuat demikian jika keadaan bertambah kritikal.

“Pada masa sama, kita kerahkan 450 bot, 250 kenderaan darat seperti lori dan lima helikopter bagi operasi banjir berkenaan.

“Pihak bomba turut mendapat kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melancarkan operasi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mengesan enam negeri iaitu Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor dilanda banjir.

“Banjir teruk di Pahang dan Johor. Di Pahang, ada 10 daerah terkesan membabitkan kira-kira 5,000 keluarga terdiri daripada 19,000 mangsa.

“Kejadian banjir selepas ini mungkin akan lebih teruk di Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Di Perak dan Selangor pula menunjukkan trend penurunan jumlah mangsa banjir. Di enam negeri itu, setakat ini ada 295 pusat pemindahan dengan 26 daerah terjejas,” katanya.

Foto: UTUSAN
Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews