fbpx

Beberapa kawasan di PJ, Shah Alam dan Klang alami gangguan air pada 12 Jan

KUALA LUMPUR: 7 Jan — Beberapa kawasan di Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual mulai Selasa (12 Jan) depan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan tersebut berlaku susulan kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berhampiran Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam, yang bermula 9 pagi.

‘’Berikutan itu, sebanyak 22 kawasan di Wilayah Shah Alam, empat di Klang dan 10 kawasan di Petaling dijangka akan mengalami gangguan ekoran kerja-kerja berkenaan. Bekalan air akan pulih sepenuhnya pada 9 pagi, 14 Jan 2021,’’ katanya.

Menurut kenyatan itu, tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza dan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan sistem agihan.

Pengguna di kawasan terjejas dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual itu.

Air Selangor turut memaklumkan pelaksanaan kerja-kerja tersebut akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air sentiasa berada dalam keadaan optimum.

‘’Penambahbaikan infrastruktur paip ini juga adalah sebahagian usaha Air Selangor dalam meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan para pengguna di masa hadapan,’’ katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tersebut boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Sumber: BERNAMA

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts