fbpx

Kim Hyun Joong rasa diri hina

ANNYEONGHASEYO! Sejak berita kontroversi berhubung kes keganasan terhadap bekas kekasihnya beberapa tahun lalu, pelakon Kim Hyun Joong lebih banyak mendiamkan diri. Kerjaya seninya juga semakin perlahan dalam tempoh tiga tahun sebelum ini.

Tampil menjadi tetamu jemputan program KBS, Ask Us Anything Fortune Teller baru-baru ini, dia berkongsi mengenai keberadaan serta situasi dialaminya. Yang pasti, dia berdepan masalah keyakinan diri sehingga tahap merasakan dirinya hina di mata orang.

Itulah yang dia dedahkan dalam program itu di mana setiap hari dia bertanya kepada diri sendiri bagaimana harus menggembirakan hatinya. Apatah lagi setiap kali memikirkan pandangan orang terhadap dirinya sekarang.

“Saban hari, saya sentiasa risau bagaimana orang memandang diri saya. Asalnya, saya memang periang, namun sekarang semakin rasa diri seperti sangat kerdil. Bagaimana saya harus buang rasa itu dan hidup lebih ceria?

“Saya cuma selesa depan keluarga tapi terus hilang semangat setiap kali berjumpa dengan orang baharu. Saya rasa seperti orang akan menghukum saya. Saya juga tidak berani menghubungi rakan selebriti lain.

“Saya rasa kewujudan saya itu sendiri seperti sangat menyusahkan. Dalam fikiran saya adalah tiada satu kepentingan pun buat mereka cuba untuk mendekati saya semula,” katanya kepada hos program itu, Seo Jang Hoon.

Dalam perbualan mereka, hos terbabit turut berbicara mengenai banyak perkara yang menimpa Hyun Joong termasuk kes saman terhadapnya pada 2014. Kes saman itu mengejutkan industri hiburan Korea Selatan selepas dia didapati memukul bekas kekasih.

Bagaimanapun, dia tidak berselindung atau cuba mengelak pun selepas diajukan soalan terbabit.

Menurutnya, tiada satu hari pun hatinya tenang akibat dihantui detik hitam dalam hidupnya itu.

“Ia berlaku sewaktu saya berusia 29 tahun, lima tahun yang lalu. Semestinya, saya tidak boleh katakan bahawa diri saya tidak bersalah. Saya masih terbayangkan perkara itu setiap hari,” katanya.

Walaupun kes terbabit sudah selesai pada November lalu, Hyun Joong belum memutuskan kembali untuk aktif dalam penggambaran drama. Drama terakhir lakonannya adalah menerusi When Time Stopped pada 2018.

Namun, bukan semua tawaran yang hadir padanya ditolak mentah-mentah. Baru-baru ini, dia mengakui sangat tertarik dengan sebuah filem indie yang hampir ditolak juga disebabkan konflik dalaman dialaminya.

“Sebenarnya, saya masih terus bekerja tapi tidak mahu terlalu terbuka mengenainya. Ia menyebabkan ramai menyangka saya tidak melakukan apa-apa. Baru-baru ini, pengurus saya memberikan skrip filem indie berjudul Indian Pink.

“Awalnya, saya menolak. Namun pengarahnya memberitahu watak itu sangat kena dengan saya dan kemudian bersetuju. Emosi saya tiba-tiba tersentuh sewaktu berada depan kamera. Saya terfikir, ini adalah perkara yang saya bagus lakukan, apa saya buat selama ini?” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews