Kuala Lumpur: Pelakon Keith Food kini sudah membuang lebih 10 peratus tatu di tubuhnya menggunakan rawatan laser.
Keith berkata, dia ingin membuang semua tatu yang ada kerana mahukan tubuh yang lebih bersih dan pada masa sama, membuka peluang kepadanya untuk membawakan lebih banyak watak ketika berlakon.
“Saya sendiri yang nak buang sebab nak badan saya ‘clean’ (bersih). Nak jalani penggambaran pun senang. Jadi, kalau tak ada tatu, produksi pun tak payah susah-susah nak ‘hilangkan’ tatu dengan solekan atau kesan khas,” katanya.
Keith yang kerap membawa watak sebagai orang Islam berkata, tatu yang ada di tubuhnya mengehadkan kepelbagaian watak yang boleh dilakonkannya.
“Kadang-kadang bukan semua watak yang saya lakonkan sesuai dengan imej bertatu. Pada satu ketika, saya memakai baju lengan panjang untuk sembunyikan tatu, tapi bila terselak sikit dah nampak.
“Jadi, kalau saya buang semuanya, ia akan lebih memudahkan saya untuk berlakon sekali gus meluaskan kepelbagaian watak untuk saya lakonkan,” katanya.
Namun, Keith tidak menafikan cabaran terbesar untuk membuang tatunya adalah rasa sakit.
“Sakitnya memang tak dapat saya jelaskan. Apabila sudah dilaser, kena biar luka itu sembuh dahulu sebelum sesi seterusnya.
“Paling sakit adalah apabila tempat yang sudah ‘ditembak’ dengan laser itu akan menggelembung sebelum ia kering. Itu memang sangat pedih,” katanya.
Dia juga menerima tajaan dari klinik untuk membuang tatu dan ingin menghabiskan semua proses. Selain di tangan, Keith juga memiliki tatu di beberapa bahagian tubuhnya yang lain.
Terbaru, Keith kini menjalani penggambaran drama bersiri Yang Bakal Mati Ramadan Ini.
Sumber: Harian Metro