KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang menzahirkan rasa hiba dengan berita tempat kelahirannya di Kuala Lipis, Pahang dilanda banjir tampil memberikan bantuan kepada mangsa bencana alam itu.
Berdasarkan perkongsian yang dibuat olehnya di Instagram, buah hati kesayangan Malaysia itu menunjukkan beberapa keping gambar barangan keperluan yang akan dihantar dari Kuala Lumpur ke lokasi yang diduga dengan bencana tersebut.
Menurut penyanyi yang berusia 41 tahun itu, bekalan tersebut dihantar ke sana kerana mangsa yang terkesan akibat banjir dilihat sukar mendapatkan bekalan yang mencukupi.
“Bekalan barangan keperluan dihantar dari Kuala Lumpur kerana beberapa hari ini sukar mendapatkan bekalan yang cukup dari daerah sekitar di Pahang yang mengalami banjir.
“Semoga perjalanan team kami ke sana dipermudahkan Allah, fasa pertama dan moga dilapangkan terus rezeki untuk fasa seterusnya,” jelas Siti Nurhaliza lagi.
Siti Nurhaliza yang telah 25 tahun berkecimpung dalam industri seni suara pada masa memaklumkan, meskipun beliau tidak dapat berada di sana disebabkan keadaan tidak mengizinkan, namun kiriman doa dan usaha bantuan itu diharapkan sampai ke sana.
“Saya tidak dapat turun padang dan melihat sendiri kesukaran di Lipis khususnya, bukan tidak mahu tetapi keadaan saya tak mengizinkan.
“Meskipun ramai yang bertanya, apakah saya tidak berbuat apa-apa? Allah! Tubuh saya mungkin tidak berada di sana tetapi doa dan juga usaha saya, usaha kalian semuanya sampai ke sana,” tambah beliau lagi.
Pada Selasa, beliau meluahkan rasa sayu melihat sekolah lamanya hampir ditenggelami air dengan hanya bumbung sahaja yang kelihatan.
“Bangunan kelas saya belajar hanya nampak sayup sahaja bumbungnya. Allah! Semoga usaha ini akan diberkati dan saya juga mengajak followers, rakan-rakan, alumni sekolah serta sesiapa saja yang mahu menyumbang bagi membantu meringankan beban sekolah akibat bencana banjir.
“Kala ini, dengan keadaan saya sekarang, mungkin saya tidak dapat turun padang seperti lazimnya untuk melihat sendiri keadaan banjir namun saya titipkan doa dan membantu apa yang termampu kerana memahami keadaan sukar buat semua mangsa banjir,” jelasnya lagi menerusi perkongsian di Instagram sebelum ini.
Sumber: Astro AWANI