fbpx

Bintai Kinden dilantik pengedar eksklusif kotak sejuk simpan vaksin

KUALA LUMPUR: Bintai Kinden Corporation Bhd menerusi anak syarikatnya, Bintai Healthcare Sdn Bhd, dilantik sebagai pengedar eksklusif kotak rangkaian sejuk Greenie Medi Cold Chain Box, yang direka untuk penyimpanan dan pengedaran vaksin COVID-19 di Asia Tenggara.

Susulan itu, Bintai Healthcare hari ini memeterai perjanjian pengedaran dengan SLAB Asia Co Ltd untuk mengedarkan rangkaian penuh produk Greenie Medi Cold Chain Box di Malaysia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Timor-Leste, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“SLAB Asia merupakan salah satu pengeluar peralatan rantaian sejuk terkemuka di Korea Selatan dan mengendalikan satu-satunya makmal ujian persendirian diperakui ISTA 7D/7E Korea yang menawarkan jaminan kualiti antarabangsa,” kata Bintai Kinden dalam satu kenyataan hari ini.

ISTA 7D/7E adalah piawaian ujian yang ditetapkan oleh Pusat Penilaian dan Penyelidikan Ubatan di bawah Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat bagi mengesahkan keserasian dan kecukupan untuk mengangkut produk gred perubatan.

Pengarah Urusan Bintai Kinden, Ong Choon Lui, berkata Greenie Medi Cold Chain Box adalah penyelesaian yang ideal untuk mengedarkan ubat sensitif suhu, biologi dan vaksin dengan selamat kepada pengguna di Malaysia dan juga negara-negara lain.

“Ini bagi menyokong inisiatif pengedaran vaksin kerajaan, melengkapkan infrastruktur rangkaian sejuk sedia ada dan menyediakan penyelesaian komprehensif bagi memenuhi keperluan kritikal pada masa-masa seperti ini selain menyokong keperluan pengedaran vaksin COVID-19,” katanya.

Kotak itu direka secara eksklusif untuk mengangkut dan menyimpan produk perubatan pada suhu yang sangat rendah pada -70°C hingga 120 jam.

Perjanjian itu tidak dijangka membawa sebarang kesan ketara terhadap modal saham terbitan dan berbayar Bintai Kinden tetapi memberi sumbangan positif terhadap pendapatan masa depan kumpulan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews