KUALA LUMPUR: Seramai 46 pakar kesihatan terkemuka negara merayu supaya satu strategi baharu diwujudkan bagi mengatasi kadar jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat, dalam sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.
Antara pakar yang menandatangani surat itu termasuk Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan dan Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Profesor Perubatan Universiti Malaya.
Dalam surat yang turut diedarkan kepada media bertarikh 7 Januari 2021 itu, mereka menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan serius bagi mengurus beban ke atas sistem kesihatan negara susulan peningkatan kes.
Pakar-pakar tersebut mengemukakan 10 cadangan kritikal sebelum negara memasuki ‘unit rawatan rapi’ COVID-19.
Antaranya, mereka menggesa supaya kadar ujian saringan ditingkatkan menggunakan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK) berbanding kit PCR kerana ia mampu menghasilkan keputusan dalam tempoh kurang 24 jam.
Selain itu, mereka juga menyarankan supaya individu positif COVID-19 yang tidak mengalami gejala dikuarantinkan di rumah.
“Kita perlu melindungi sumbangan anggota perubatan profesional di hospital COVID-19 dengan mengalihkan kesemua pesakit bukan COVID-19 ke hospital-hospital bukan khusus untuk COVID-19 serta hospital swasta.
“Ini membenarkan mereka untuk fokus kepada kes-kes yang paling parah,” tegas pakar-pakar dalam surat itu.
Pada masa sama, mereka juga mendesak agar proses meluluskan vaksin COVID-19 dipercepatkan di samping maklumat berhubung vaksin disampaikan kepada rakyat.
Tambah pakar-pakar dalam surat itu: “Sebuah Jawatankuasa COVID-19 yang merentasi sektor dan memperkasakan pakar-pakar subjek tertentu harus dibentuk dengan segera untuk menyampaikan nasihat berasaskan bukti.”
Akhir sekali, mereka mengingatkan supaya pandemik ini tidak dipolitikkan mana-mana pihak.
“Jangan mempolitikkan pandemik ini,” tegas mereka.
“Sebaliknya, bentukkan konsensus bipartisan serta kata sepakat untuk pendekatan bagi meratakan keluk jangkitan dan mencapai kelompok imuniti sebagai perlindungan masyarakat untuk hidup bersama virus ini.
“PRU15 di tengah-tengah pandemik yang tidak terkawal ini adalah satu bencana yang hanya menunggu masa untuk berlaku, seperti yang dibuktikan dengan PRN Sabah.”
Pakar-pakar berkenaan percaya kesemua cadangan itu akan diambil serius oleh Muhyiddin bagi melindungi nyawa rakyat.
Foto: BERNAMA
Sumber: Astro Awani