Kuala Lumpur: Pasukan produksi Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) berjanji persembahan finalis di pentas akhir pada 7 Februari ini berlangsung tanpa sebarang kontroversi seperti tahun lalu.
Penerbit Eksekutifnya, Nurhul Huda Khalid berkata, mereka mengambil pengajaran apa yang berlaku dan akan memastikan semua finalis mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Antaranya meminta semua finalis menandatangani perjanjian dari jabatan undang-undang supaya tak akan berlaku lagi perkara sedemikian.
“Apabila sudah berlaku sesuatu yang buruk tahun lalu, takkan kita nak ulang perkara sama. Setakat ini 12 lagu yang ditunjukkan persembahan mereka tiada yang akan mencetuskan sesuatu yang kontroversi,” katanya dalam sidang media secara dalam talian.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima/ Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh dan hos AJL35 iaitu Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni serta Sissy Imann selaku hos Karpet Merah.
Penganjuran Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) tahun lalu mencetus kontroversi apabila Aina Abdul tampil dengan gimik baju berdarah sehingga mencetuskan kecaman pelbagai pihak.
Manakala, kumpulan Drama Band pula tampil dengan konsep pakaian badut yang dikatakan menyindir seorang bekas pemimpin negara.
Nurhul Huda berkata, perkara itu sememangnya tidak dijangka kerana ada di antara artis tidak menunjukkan apa yang akan dibuat pada persembahan sebenar semasa sesi latihan.
“Itu yang buat benda ini berlaku. Kalau ikutkan semuanya sudah persembahkan kepada kami. Memang semuanya sudah ada dalam perjanjian. Cuma apabila berlaku kami hanya boleh bagi amaran. Kali ini kami sediakan surat. Kontroversi itu buat kami terkejut.
“Namun, persembahan Aina sepatutnya bukan begitu. Ada kesilapan teknikal sehingga ia jadi begitu. Sepatutnya darah itu keluar cantik dan bukan seperti yang kita lihat itu. Persembahan Drama Band pula memang kejutan habis,” katanya.
Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya akan menunggu pengumuman kerajaan hari ini untuk mengulas lanjut berkenaan penganjuran AJL35.
“Sekiranya kita tak dibenarkan untuk menjalankan acara ini, ia mungkin kami akan buat pengumuman kemudian. Kami ada plan B juga kalau dibenarkan menjalankan persembahan itu mengikut jumlah kerja yang terhad.
“Saya percaya kemampuan pasukan AJL35 yang diketuai Nurhul Huda untuk melaksanakannya berdasarkan pengumuman yang akan dibuat. Kami tak nak buat spekulasi dan akan ikut plan B dan plan C apabila dapat pengumuman ini,” katanya.
AJL35 akan berlangsung pada 7 Februari ini di Auditorium MBSA, Shah Alam.
Sumber: Harian Metro