fbpx

MAHB kaji panjangkan landasan Lapangan Terbang Pulau Pangkor

MANJUNG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kajian dan perincian untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor sebelum ia beroperasi semula.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perincian itu berdasarkan penilaian jenis kapal terbang yang akan menggunakan landasan berkenaan kelak.

“Sekiranya kita menggunakan kapal terbang jenis ATR 72 yang boleh memuatkan lebih kurang 70 penumpang, maknanya kita perlu memanjangkan sedikit landasan di Pangkor.

“Pihak MAHB juga sedang membuat perincian kos untuk memanjangkan landasan lapangan terbang itu. Apapun kita mengharapkan ia akan mendapat pandangan positif daripada kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan untuk membenarkan supaya lapangan terbang itu dapat diaktifkan semula,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan bernilai RM125,000 kepada 925 pelajar dan murid di sekitar Manjung pada program #MYAirportCARES Ceria Kembali ke Sekolah Bersama Malaysia Airports dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, di Seri Manjung, di sini, semalam.

Zambry (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar pada pada program #MYAirportCARES Ceria Kembali ke Sekolah Bersama Malaysia Airports dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Pangkor di Seri Manjung, Manjung.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MAHB itu bertujuan memberi sokongan kepada komuniti di sekitar kawasan lapangan terbang, terutama bagi yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Zambry berkata, pemanjangan landasan itu juga diyakini dapat menampung pertambahan pelancong ke Pulau Pangkor berikutan status pulau itu sebagai Pulau Bebas Cukai (PCB), sejak 1 Januari 2020.

“Saya jangkakan permintaan untuk datang ke Pulau Pangkor akan bertambah dua kali ganda dan berkemungkinan juga ada penambahan hotel baru dan ini memerlukan khidmat udara untuk pelancong datang ke pulau berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, pembukaan semula lapangan terbang berkenaan yang dijangka beroperasi pada 1 Oktober 2019 terpaksa ditunda berikutan pesawat yang dijadualkan mendarat masih menunggu untuk pemeriksaan keselamatan dan teknikal.

Untuk rekod, Lapangan Terbang Pangkor dibuka sejak 1993 dengan landasan kapal terbang sepanjang 732 meter, namun berhenti beroperasi sejak Februari 2014.

Mengulas persiapan MAHB sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan semula, Zambry berkata, pihaknya sentiasa bersedia menerima keputusan kerajaan.

Katanya, perbincangan berterusan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dilakukan supaya pintu masuk lapangan terbang sentiasa terkawal bagi memastikan sebarang kemungkinan dapat di atasi ketika pandemik wabak COVID-19.

Dalam pada itu, Mohd Syukrie berkata, setakat ini, jumlah penumpang di seluruh lapangan terbang adalah 30 sehingga 40 peratus dan sekiranya PKP diperketatkan, ia akan berkurangan kepada 10 hingga 15 peratus.

Bagaimanapun katanya, penumpang tidak perlu risau kerana lapangan terbang adalah kawasan selamat dan pihaknya melakukan proses sanitasi lapan kali sehari.

Sumber: BH Online

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews