fbpx

Penyelam terus cari kotak hitam pesawat terhempas

JAKARTA: Penyelam Indonesia meneruskan usaha mencari kotak hitam pesawat membawa 62 penumpang yang terhempas, Sabtu lalu, pada ketika penyiasat berdepan tugas berat mengenalpasti mayat serta tubuh mangsa.

Menemui kotak yang mengandungi rakaman suara di kokpit serta data penerbangan itu amat penting sebagai petunjuk untuk merumuskan bagaimana pesawat Sriwijaya Air Boeing 737-500 terjunam daripada ketinggian 3,000 meter dalam masa tidak sampai seminit sebelum terhempas ke Laut Jawa.

Setakat ini, tidak banyak mampu diperoleh pasukan siasatan untuk menjelaskan punca pesawat itu terhempas selepas empat minit berlepas dari Jakarta, tetapi semalam, mereka mendakwa sudah mengenalpasti lokasi kotak hitam itu.

Kira-kira 2,600 individu terbabit dalam pasukan pencarian termasuk puluhan bot dan helikopter menemui tubuh manusia, serpihan pesawat serta pakaian penumpang dari air sedalam 23 meter.

Gambar dari bawah air diambil tentera laut Indonesia menunjukkan dasar laut dipenuhi sisa serpihan pesawat.

Beg berisi mayat disembur dengan cecair disinfeksi sebelum dibawa ke hospital polis sebelum pasukan penyiasat berharap dapat mengenalpasti identiti mangsa berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dengan waris mereka.

Semua 62 penumpang dan kru penerbangan separuh penuh itu adalah warga Indonesia dan 10 daripada mereka adalah kanak-kanak.

“Hari ini, kami memperluaskan kawasan pencarian dan mengutip apa saja yang ditemui sama ada serpihan pesawat atau tubuh manusia,” kata Rasman MS, ketua operasi pasukan mencari dan menyelamat kepada media, hari ini.

“Ia akan menjadi operasi tanpa henti selama 24 jam. Tiada rehat. Lebih cepat kami temui mangsa, lebih baik.”

Siasatan terhadap tragedi ini yang juga malapetaka terbaru dalam sektor penerbangan Indonesia dijangka akan mengambil masa beberapa bulan.

Penganalisis penerbangan berkata, data penerbangan menunjukkan pesawat itu tersasar daripada laluan sebelum ia terjunam dengan cuaca buruk, kesilapan juruterbang serta masalah mekanikal mungkin antara faktor kejadian itu.

Stephen Wright, Profesor Sistem Penerbangan di Universiti Tampere di Finland, berkata sesuatu yang dramatik berlaku selepas pesawat itu berlepas.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews