fbpx

AJL35 tunda

Khairul Anwar Salleh

Petaling Jaya: Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang sepatutnya berlangsung pada 7 Februari ini di Auditorium MBSA, Shah Alam, ditunda bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh​ berkata, pelaksanaan PKP pastinya mengekang persiapan menjelang AJL35.

“Ketika sidang media AJL35 semalam, saya dan penerbit eksekutif, Nurhul Huda berharap PKP tidak dilaksanakan supaya acara itu boleh berlangsung seperti dijadualkan.

“Namun, Perdana Menteri mengumumkan PKP akan dilaksanakan bermula esok hingga 26 Januari ini. Tempoh 14 hari PKP ini akan mengekang tugas-tugas persediaan AJL35, terutama kerja-kerja pembinaan pentas dan set lain.

“Ini kerana kerja-kerja pembinaan itu memerlukan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu, untuk kebaikan semua pihak kami memutuskan menunda AJL35 ke tarikh yang akan diberitahu kelak, sebaiknya selepas tempoh PKP ditamatkan secara rasmi,” katanya.

Khairul juga berharap semua pihak yang terkesan dengan penundaan itu faham dengan keputusan terbabit demi kebaikan bersama.

“Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terbabit, mahupun secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan AJL35 ini. Kami berharap juga semua rakyat akan patuh PKP demi kebaikan dan keselamatan kita semua,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP ke atas enam negeri selama 14 hari bermula tengah malam ini sehingga 26 Januari, manakala enam negeri lagi dikenakan PKP Bersyarat dan dua negeri PKP Pemulihan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts