PETALING JAYA – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi video proses rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF) yang dijalaninya untuk kehamilan kedua.
Menyambut hari lahir yang ke-42 hari ini, Siti secara eksklusif memuat naik sebuah video itu dalam saluran YouTube miliknya untuk tatapan peminat.
“Proses kehamilan kali ini sama rasanya seperti Aafiyah dulu, cuma kali ini saya banyak menangis,” kongsinya menerusi video tersebut.
Menurut Siti yang popular menerusi lagu Aku Bidadari Syurgamu, kehamilan kedua melengkapkan dirinya sebagai seorang ibu.
Siti turut mengakui percubaan hamil anak kedua sangat mendebarkan kerana sebelum berjaya memiliki Aafiyah, beliau sudah beberapa kali menempuhi kegagalan ketika menjalani proses IVF.
Kongsinya, beliau mula melakukan proses suntikan IVF pada 14 Ogos 2020 yang jatuh pada hari Jumaat dan perlu berehat di rumah selama 10 hari selain perlu berhati-hati dalam setiap pergerakan termasuk ketika menunaikan solat.
“Perjalanannya sama seperti Aafiyah dulu. Walaupun ada lif di dalam rumah, saya tidak turun ke tingkat bawah dan hanya makan di dalam bilik.
“Saya elakkan makan pedas dan separuh masak serta hanya mengambil makanan berkhasiat sahaja,” tuturnya.
Pada masa sama, Siti turut berkongsi dirinya yang melakukan ujian kehamilan sendiri seawal hari keenam.
“Padahal doktor awal-awal sudah pesan supaya lakukan ujian kehamilan pada hari kesepuluh namun saya melakukannya lebih awal kerana teruja,” ujarnya.
Terdahulu Siti mendirikan rumah tangga bersama Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa pada 21 Ogos 2006.
Mereka dikurniakan cahaya mata sulung, Siti Aafiyah, 3, pada 2018 selepas penantian selama 11 tahun.
Sumber: Kosmo!