SEPANG: Pengenalan tujuh laluan penerbangan tempatan baharu melonjakkan pergerakan penumpang domestik sebanyak tiga kali ganda pada Disember 2020 berbanding bulan sebelumnya bagi operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Malaysia.
Peningkatan pergerakan penumpang itu juga turut disumbangkan musim cuti yang panjang dan kelonggaran sekatan perjalanan domestik, demikian kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan.
Ia berkata, lebih sejuta penumpang melakukan perjalanan dalam negeri melalui 39 rangkaian lapangan terbang kendaliannya di negara ini bulan lalu, memberikan tanda potensi pemulihan untuk perjalanan udara.
Katanya, berbanding November 2020, rata-rata pergerakan penumpang harian pada Disember 2020 meningkat 50 peratus kepada kira-kira 34,500 dengan jumlah pergerakan domestik harian tertinggi dicatatkan sebanyak 54,000 pada 27 Disember.
“Syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Firefly membuat keputusan strategik untuk menyediakan laluan domestik baharu sebagai tindak balas kepada permintaan pasaran COVID-19.
“Dengan sempadan antarabangsa masih ditutup, mereka kini memberi tumpuan untuk meningkatkan kesalinghubungan antara negeri terutama yang mempunyai destinasi pelancongan popular termasuk hab perniagaan,” katanya.
Pada Disember saja, MAHB berkata, lapangan terbang tempatan menyaksikan tujuh laluan baharu oleh AirAsia dengan kekerapan tiga penerbangan mingguan setiap satu.
Ia berkata, syarikat penerbangan tambang rendah itu juga agak teruja untuk melancarkan laluan baharu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) dan Lapangan Terbang Terengganu pada Februari ini bagi meluaskan lagi opsyen penerbangannya di samping meningkatkan kesalinghubungan penerbangan di Malaysia.
Katanya, pada bulan ini, syarikat penerbangan komuniti tempatan, Firefly akan menjadikan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai hab kedua.
Sumber: BH Online