fbpx

Soon Huat-Shevon perlu ada elemen kejutan

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie perlu mempunyai elemen kejutan dalam percaturan strategi mereka sekiranya berhasrat menumbangkan gandingan nombor tiga dunia, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada aksi pusingan kedua Terbuka Thailand Yonex di Bangkok, esok.

Atas kertas, kelebihan tampak memihak kepada Soon Huat-Shevon selepas menang enam daripada 10 pertemuan dengan lawan dari Thailand itu.

Disebabkan kedua-dua pasangan itu sering bertemu dan sudah ‘masak’ dengan corak permainan masing-masing, elemen kejutan cukup penting buat Soon Huat-Shevon bagi memastikan mereka meraih tiket ke suku akhir.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Paulus Firman, berkata dia akan cuba memberikan idea baharu kepada anak buahnya itu dalam merancang strategi bagi menewaskan Dechapol-Sapsiree.

“Mereka sudah banyak kali berjumpa dan tahu mengenai corak permainan masing-masing. Jadi, kami akan bincang mengenai strategi terbaik yang bersesuaian dengan keadaan di gelanggang termasuk dari aspek kelajuan bulu tangkis dan angin,” katanya.

Semalam, Soon Huat-Shevon dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kedua menerusi kemenangan ke atas pasangan Perancis, Ronan Labar-Anne Tran 21-16, 14-21, 21-17 pada aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Bangkok.

“Prestasi mereka dalam perlawanan pertama itu kurang bagus. Selepas menang set pertama, mereka cuba memperlahankan permainan dan hilang fokus di set kedua. Set ketiga selepas ketinggalan 11-17 mereka kembali pada tahap prestasi sebenar menerusi kepantasan dalam permainan,” katanya.

Foto: BWFbadminton.com

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews