fbpx

Cheah, Kisona raih pengalaman berharga di Terbuka Thailand Yonex

KUALA LUMPUR: 14 Jan — Walaupun tewas dalam pusingan pembukaan Kejohanan Badminton Terbuka Thailand Yonex di Impact Arena, Bangkok semalam, pemain wanita nombor satu negara Soniia Cheah menyifatkannya sebagai pengalaman berharga yang akan membantu meningkatkan prestasinya.

Menurut pemenang pingat perak acara beregu campuran Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu, kekalahan 15-21 dan 12-21 kepada pemain pilihan ketujuh An Se Young dari Korea Selatan menjadi pengajaran terbaik dalam persiapan beliau menghadapi Terbuka Thailand Toyota yang dijadualkan dari 19 hingga 24 Jan di venue sama.

“Lawan saya berupaya mengawal rentak permainannya dengan baik dan saya pula agak gementar kerana itu merupakan perlawanan pertama saya (setelah lama tidak bermain disebabkan penularan COVID-19), tetapi saya berharap dapat memperoleh semula rentak saya pada kejohanan seterusnya,” kata Cheah yang dipetik daripada rakaman temu bual selepas perlawanan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Rakaman video itu dikongsikan dengan Bernama.

Berkongsi pandangan serupa, rakan sepasukannya S. Kisona yang turut tersingkir pada pusingan awal, gembira diberi peluang bermain dalam kejohanan itu selepas pemain Thailand Nitchaon Jindapol menarik diri akibat kecederaan.

— LAGI

SUKAN-BADMINTON (CHEAH/KISONA) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 itu berkata walaupun tewas 15-21 dan 15-21 kepada pemain nombor 20 dunia Saina Nehwal dari India, beliau berpuas hati dengan prestasinya dalam kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah US$1 juta (RM4.042 juta) tersebut.

“Saina bermain dengan baik dan beliau antara pemain idola saya. Bermain menentang beliau merupakan satu pengalaman yang sangat baik buat saya,” kata Kisona.

Saingan Malaysia dalam Kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu berakhir dengan kekalahan kedua-dua pemain tersebut.

Sumber: BERNAMA

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews