PUTRAJAYA: Pendaftaran untuk orang ramai menerima vaksin Covid-19 akan dibuka tidak lama lagi dan ia akan dilaksanakan dalam tiga fasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pemberian vaksin itu bagi membentuk imunisasi berkelompok dalam negara.
“Fasa pertama akan diberikan kepada petugas barisan hadapan, fasa kedua untuk kumpulan berisiko tinggi atau berpenyakit kronik serta warga emas berumur 60 tahun ke atas dan fasa terakhir kepada orang awam berusia 18 tahun dan ke atas.
“Sehingga 13 Januari, kira-kira 32 juta orang di seluruh dunia sudah disuntik vaksin Covid-19. Ini menunjukkan vaksin ini diterima masyarakat dunia.
“Namun, vaksin bukanlah penyelesaian. Selepas disuntik, kita masih perlu mengamalkan norma baharu,” katanya.
Dr Adham berkata, terdapat empat matlamat imunisasi Covid-19 iaitu untuk melindungi barisan hadapan, mengurangkan kematian, membentuk imuniti berkelompok dan memutuskan rantaian jangkitan.
Sementara itu, mengenai penerimaan rakyat terhadap vaksin Covid-19, Dr Adham berkata tinjauan oleh KKM secara dalam talian pada 21 hingga 28 Disember lalu mendapati sebahagian besarnya bersetuju.
“Tinjauan dalam talian ini disertai 212,000 responden dan daripada jumlah itu 67 peratus bersetuju, 17 peratus tidak pasti dan 16 peratus tidak bersetuju.
“Peratusan yang tidak pasti itu kerana mereka risau akan keberkesanan vaksin terbabit. KKM akan membuat tinjauan dan kaji selidik dari masa ke semasa untuk mengetahui penerimaan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kerajaan mensasarkan 70 peratus atau 23 juta rakyat Malaysia akan diberikan vaksin.
Turut dilaporkan ialah vaksin Pfizer-BioNTech yang akan diterima Malaysia akhir Februari ini sudah diberi kelulusan bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain Malaysia, 49 negara lain turut memberi kelulusan dan ada sebahagian daripada negara itu sudah mula menggunakan vaksin berkenaan.
Untuk rekod, vaksin Pfizer juga menjadi vaksin Covid-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan.
Sumber: Harian Metro