fbpx

Aksi Piala Juara-Juara STL sambung selepas PKP

Foto: Stadium Astro

KUALA LUMPUR: Kejohanan Piala Juara-Juara Sepak Takraw League (STL Champions Cup) di Iskandar Puteri, Johor yang terpaksa dihentikan sementara, bakal bersambung semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail berkata pemain negara yang beraksi pada kejohanan berkenaan sudah kembali ke Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bagi menyambung semula sesi latihan pusat, manakala selebihnya pulang ke negeri masing-masing.

Beliau berkata kesemua pemain dan pegawai pertandingan terbabit dalam kejohanan Piala Juara-Juara STL yang bermula pada 10 Januari lalu, diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik sahaja kejohanan berkenaan dibenarkan bersambung semula.

“Kalau sudah dibenarkan, kita akan beri peluang kepada pasukan (bertanding) untuk membuat latihan dalam lima hari ke seminggu sebelum sambung semula (kejohanan berkenaan),” katanya kepada Bernama.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selama 14 hari hingga 26 Januari ini.

Bagaimanapun, di Sarawak, pelaksanaan PKP bermula 16 hingga 29 Januari membabitkan tiga daerah di Bahagian Sibu iaitu daerah Sibu, Selangau dan Kanowit.

PKP Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dalam pada itu, Ahmad Ismail berpuas hati dengan mutu pengadilan pada saingan Piala Juara-Juara STL walaupun mengakui masih menerima beberapa aduan mengenai perkara itu.

Beliau memaklumkan PSM sentiasa berusaha untuk mengelak kesilapan dilakukan juri pertandingan bagi memastikan kejohanan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Saingan Piala Juara-Juara STL membabitkan enam pasukan terbaik dalam Divisyen Premier STL iaitu juara musim ini Kuala Lumpur Thunders, ATM Guardians, Johor Tigris, Negeri Sembilan Antlers, Kelantan Warriors dan Penang Black Panthers, serta dua pasukan terbaik Divisyen Satu STL iaitu Bomba Fighters dan Putrajaya Cyborg.

Johor Tigris yang meraih kedudukan ketiga dalam saingan Divisyen Premier STL pada musim ini, adalah juara bertahan Piala Juara-Juara STL.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews