fbpx

Siang malam perangi virus

Foto: Malaysia Now

BATU PAHAT: Setiap kali berhadapan dengan kes positif Covid-19, antara perkara paling mencabar ialah mengesan kontak rapat pesakit yang boleh mencecah ribuan orang bermula hanya daripada seorang pesakit.

Bagaimanapun, menjadi tugas dan langkah awal yang penting untuk dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak itu daripada menjadi lebih teruk lagi.

Hakikat ini diakui sendiri oleh petugas kesihatan yang terbabit dengan Kluster Batu 7 di sini, membabitkan lebih 400 pesakit yang dimasukkan ke hospital dan lebih 6,000 kontak menjalani saringan dalam proses kawalan dan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Bernama baru-baru ini berpeluang melihat sendiri kesungguhan dan komitmen tinggi petugas kesihatan ketika mengendalikan pengesanan dan kerja-kerja awal membabitkan Kluster Batu 7 itu.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang juga Pegawai Kesihatan Daerah di Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat (PKDBP), Dr Shahril Azian Masrom berkata, lebih 100 anggota akan terbabit dalam satu hari bagi menguruskan kes wabak Covid-19.

Ia bermula dengan anggota bilik gerakan menguruskan data, mengatur pergerakan pesakit dan kontak serta menyelaras pergerakan pasukan di lapangan seperti pasukan siasatan, penguatkuasaan, pengambilan sampel serta promosi kesihatan.

Menurut Dr Shahril lagi, umum tidak mengetahui apabila berlaku sesuatu wabak, secara tidak langsung anggota dan petugas KKM tidak akan dapat bercuti, malah perlu sentiasa dalam keadaan siap siaga andai kata perkhidmatan mereka diperlukan.

“Jika sebelum ini, memang ada pesakit yang disahkan menghidap wabak Covid-19 di daerah Batu Pahat, tetapi ia tidak membabitkan jumlah yang ramai sehingga bantuan pasukan lapangan dari luar daerah diperlukan seperti Kluang, Muar, Pontian, Kota Tinggi dan Segamat bertujuan membantu proses penyiasatan kes, menjejaki kontak rapat serta di dalam aktiviti pensampelan,” katanya.

Bilik gerakan berkenaan yang diketuai oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pegawai Epidemiologi PKDBP, Dr Akashah Abdullah, adalah unit yang paling sibuk kerana memerlukan mereka bekerja sehingga 24 jam bagi mencari kontak rapat setiap pesakit yang terdiri daripada isi rumah, rakan sekerja, penduduk berhampiran serta individu yang pernah bertemu dengan pesakit.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Unit Penyakit Berjangkit PKDBP, Dr Nur Akma Anis Tajuddin yang membantu Dr Akashah berkata, mereka perlu mencari kontak rapat bagi setiap pesakit yang adakalanya terdiri daripada puluhan, malah mencecah ratusan individu bagi satu-satu pesakit yang disahkan positif Covid-19.

Kakitangan PKDBP yang bertugas di unit berkenaan perlu menghubungi setiap kontak rapat terbabit untuk mereka menghadirkan diri ke Klinik Kesihatan Batu Pahat (KKBP) bagi menjalani ujian pensampelan dengan melakukan swab test RT-PCR.

Menurut Dr Nur Akma, mereka terpaksa bekerja siang dan malam dan mengorbankan masa untuk keluarga demi memastikan rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan.

“Pada waktu siang kami menyiasat, mencari dan menghubungi kontak rapat kepada pesakit, manakala pada waktu malam pula kami memasukkan setiap data dari hasil siasatan.

“Adakalanya pada waktu malam kami perlu menyemak data daripada rekod aplikasi MySejahtera bagi mengesan lokasi atau premis yang dikunjungi oleh setiap pesakit serta kontak rapat mereka,” katanya.

Antara cabaran yang perlu ditempuhi mereka adalah apabila sebahagian pesakit dan kontak rapat terbabit enggan melakukan ujian pensampelan serta merahsiakan gejala wabak Covid-19 yang dihidapi.

Tambahnya lagi, tugas mereka tidak berakhir begitu sahaja, malah dengan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka akan memantau setiap kontak rapat yang diarah menjalani proses kuarantin di rumah.

Bagi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran PKDBP, Mohd Ubaidilah Shamsuddin yang bertugas membuat pensampelan, beliau berkata, sejak kerja mengesan kluster berkenaan bermula, beliau diwajibkan memakai pakaian lengkap khas apabila bekerja iaitu Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi melindungi diri daripada terdedah kepada virus itu.

Katanya, beliau perlu memakai PPE yang meliputi keseluruhan tubuhnya hampir tujuh hingga lapan jam setiap hari, selain perlu bertugas di lapangan bertemu dengan individu yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 ini.

“Antara cabaran di dalam menguruskan proses persampelan apabila mengenakan sut PPE ini adalah bermula daripada awal pemakaian dan ketika menanggalkannya di mana ia perlu mengikut prosedur ketat (SOP) yang ditetapkan.

“Dengan peluh ‘lencun’ di tubuh masing-masing, kami perlu menahannya sehingga tugasan kami ini selesai, yang mana perlu menguruskan proses pensampelan yang mencecah 600 orang setiap hari,” katanya.

Menurut Ubaidillah, beliau perlu membersihkan diri dahulu selepas selesai menjalankan tugas pensampelan, sebelum pulang ke rumah atau singgah ke mana-mana.

Dalam pada itu, unit yang berperanan sama penting dalam usaha PKDBP memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini adalah Unit Promosi Kesihatan yang diketuai oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan Irene Faridah Ismail.

Menurut Irene, pihaknya berperanan untuk menghebahkan maklumat mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diterbitkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, Unit Bergerak Promosi Kesihatan Daerah Batu Pahat akan menyampaikan maklumat pencegahan apabila turun ke lapangan di kawasan PKPB.

“Unit ini mempunyai risiko tersendiri terutamanya semasa anggota menggantungkan bahan pameran seperti kain rentang dan bunting serta mengedarkan poster serta risalah kepada umum. Namun, anggota dinasihatkan sentiasa mematuhi SOP semasa menjalankan tugas.

“Kami turut mendapat kerjasama dari Unit Bergerak Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan Jabatan Penerangan (Japen) Daerah Batu Pahat dalam menyalurkan hebahan siaraya akan keadaan semasa dan menguar-uarkan pematuhan SOP, amalan normal baharu dan minda sihat bagi mengurangkan tekanan emosi semasa PKP di kawasan yang mempunyai risiko penularan wabak Covid-19,” katanya.

Selain unit bergerak, infografik dan saluran maklumat disebarkan melalui saluran media sosial iaitu di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Johor Health Promotion (Johep) dan Pejabat Kesihatan Batu Pahat sebagai saluran rasmi.

Sepanjang dua hari bersama petugas KKM di daerah Batu Pahat ini, wartawan Bernama turut berpeluang merasai sendiri bagaimana rasanya tugasan yang dilakukan oleh mereka termasuklah memakai sut khas PPE selama kira-kira 1 jam.

Ternyata, tugas mereka sangat mencabar dan setiap hari mereka melakukannya dengan ikhlas demi mengekang penularan wabak ini.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews