fbpx

38 anggota polis dikuarantin selepas OKT positif Covid-19

Coronavirus Disease 2019 Rotator Graphic for af.mil. (U.S. Air Force Graphic by Rosario "Charo" Gutierrez)

TAIPING: Seramai 38 anggota polis pelbagai pangkat di Taiping diarahkan menjalani kuarantin kendiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas seorang wanita Thailand yang ditahan menerusi Ops Noda, 11 Januari lalu positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam operasi jam 6 petang itu, wanita berusia 31 tahun yang berkerja sebagai tukang urut di sebuah premis di Jalan Tupai disahkan positif Covid-19 oleh petugas KKM selepas ujian calitan dibuat.

Menurutnya, atas nasihat KKM, semua anggota yang terbabit dalam operasi penangkapan, kawalan lokap dan mahkamah diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah bermula semalam.

“Orang Kena Tahan (OKT) kini dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan akan diambil tindakan selanjutnya oleh pihak KKM dan dipantau anggota kita.

“Selain anggota, ujian calitan juga turut dijalankan terhadap OKT yang berada di sel tahanan warga Thailand itu,” katanya dalam sidang media.

Dalam perkembangan lain, Osman berkata, polis akan menambahkan tiga sekatan jalan raya (SJR) di Taiping sebagai persediaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjadikan jumlah keseluruhan SJR sebanyak lima lokasi.

Menurutnya, pihaknya turut mendapat bantuan beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikutan banyak anggotanya kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts