KUALA LUMPUR: Umum mengetahui, pelakon terkenal, Emma Maembong dan suaminya, Muhammad Shazli Azhar disahkan positif COVID-19 dan kini sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka.
Melalui perkongsian di IG stories, Emma memaklumkan, dia dan suaminya berada dalam keadaan baik, namun pelakon itu turut mendedahkan, dia setakat ini masih tiada deria rasa dan bau.
“Esok adalah hari terakhir kuarantin dan kita akan buat ujian saringan kedua, Insyaallah keputusan negatif. Namun, saya masih tidak ada rasa dan bau,” katanya melalui IG stories di laman Instagramnya.
Jelasnya, ketika ini dia berada pada peringkat pertama jangkitan COVID-19 dan masih tiada gejala yang membimbangkan.
Susulan itu katanya, dia dan suami hanya kuarantin di rumah dan memberi ruang kepada pesakit yang benar-benar memerlukan untuk dirawat di hospital.
Emma dalam pada itu, turut menasihatkan mana-mana individu untuk melakukan ujian saringan COVID-19 jika mempunyai gejala seperti demam dan sakit tekak.
“Nasihat Emma, kalau rasa sakit tekak atau demam, terus pergi buat swab test sebab tidak rugi dan tidak payah takut.
“Sekurang-kurangnya apabila kita tahu kita positif, kita boleh selamatkan ramai lagi nyawa. Daripada kita positif dan jadi lebih teruk kalau kita pergi jumpa orang,” tambahnya lagi.
Anak mereka, Shariq Gabriel, yang sebelum ini disahkan negatif COVID-19 ketika ini dijaga kakak Emma, Coddy Maembong.
Pada 15 Januari lalu, Emma mendedahkan dia dan suami disahkan positif COVID-19 melalui video yang dimuat naik di Instagram.
Sumber: Astro AWANI