fbpx

Setakat 153 apa nak dibanggakan?

Foto: MSN News

KUALA LUMPUR: Apa ada pada ranking? Itu persoalan yang ditimbulkan mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong selepas isu ranking skuad Harimau Malaya kembali hangat diperkatakan meskipun skuad bola sepak kebangsaan ‘berehat’ setahun tanpa sebarang aksi.

Menurutnya, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan ranking ke-153 dunia yang sedang diduduki skuad kebangsaan ketika ini meskipun dia mengakui memang ada peningkatan yang ditunjukkan oleh anak buah Tan Cheng Hoe dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pada pandangan saya, apalah yang ada pada ranking kalau kita sekadar berada pada kedudukan ke-140 atau ke-150. Kalau naik 10 tangga sekalipun, kita masih lagi belum berada pada kedudukan yang boleh dianggap membanggakan.

“Lainlah kalau berada pada tangga ke-20 dan naik 10 tangga ke kedudukan ke-10. Itu barulah pencapaian yang hebat. Dahulu kita jauh lebih bagus berbanding negara lain seperti Filipina dan Vietnam.

“Ketika itu, kita tidak pernah bayangkan yang pasukan seperti Filipina dan Vietnam akan berada lebih tinggi daripada kita seperti sekarang,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong. – Foto: Sports247

Isu ranking skuad bola sepak kebangsaan menjadi hangat kembali selepas pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyifatkan skuad Harimau Malaya tidak sepatutnya berada di kedudukan ke-153 dunia berdasarkan pembangunan dalam aspek bola sepak di negara ini.

Dalam luahan terbaru menerusi akaun Facebook miliknya, Norizam berkata dengan pembangunan stadium serta pelbagai akademi bola sepak, sepatutnya ranking Malaysia semakin naik dan bukan semakin menurun.

Malah, beliau yang lebih dikenali sebagai Zamsaham mengakui terkejut dengan kedudukan semasa skuad Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Mengulas mengenai isu ‘perang’ antara Norizam dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Zolkples mengakui perkara terbabit boleh diselesaikan dengan cara baik.

Zolkples berkata, dia begitu menghormati Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham itu atas keberaniannya terbabit dalam industri bola sepak dan atas dasar itu, FAM dan MFL selaku badan induk perlu membantu Norizam.

“Bukan kita mahu mencari siapa yang betul atau siapa yang salah dalam perkara ini tetapi perkara ini boleh diselesaikan. Tak perlu tunggu untuk bersemuka kerana dengan pelbagai teknologi yang ada, perbincangan boleh diadakan.

“Mungkin kenyataan yang dibuat Zamsaham itu kerana tekanan yang diharungi selepas melabur jutaan ringgit untuk membentuk pasukannya. Jadi sebagai badan induk, isu ini perlu diselesaikan sebelum melarat. Tak perlulah lagi sebarang kenyataan balas membalas selepas ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews