fbpx

Ada pihak sengaja rosakkan pagar LPT2 untuk buka laluan lembu ragut rumput

KEMAMAN: Sebanyak 174 kes kerosakan pagar dilaporkan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sejak 2017.

Pengurus Perniagaan Wilayah Timur LPT2 Sdn Bhd, Roszi Ibrahim berkata, keadaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa memperuntukkan RM5 juta sejak 2018 bagi pemasangan pagar baru di lebuh raya berkenaan.

“Pagar keselamatan itu dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selepas kerja pemotongan rumput di sekitar lebuh raya.

“Pihak kami akan meningkatkan kekerapan pemantauan di sepanjang lebuh raya terutama pada waktu malam bagi memastikan keselamatan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu dikeluarkan berkaitan kes sembilan ekor lembu mati selepas dirempuh dua buah kenderaan dalam kemalangan di kilometer (km) 291.1, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari arah Kuantan – Kuala Terengganu pada Jumaat lepas.

Berdasarkan maklumat dikongsikan kepada Astro AWANI, ada pihak sengaja merosakkan pagar keselamatan untuk membuka laluan kepada lembu ternakan meragut rumput.

Akibatnya, ternakan bebas memasuki kawasan lebuh raya dan membahayakan keselamatan pengguna LPT 2 terutama pada waktu malam.

Sehubungan itu, seorang pengguna lebuh raya, Mohd Ezam Sulaiman meminta pihak pengurusan mengambil tindakan sewajarnya bagi meningkatkan tahap keselamatan di situ.

“Kita minta pihak berkuasa ini kalau boleh ambil tindakan yang lebih tegas kepada mereka yang bela lembu ini, barulah dia rasa sikit.

“Ini tidak, lembu sudah dilanggar, kalau tanya tuan, memang tuan itu tidak akan mengakulah lembu itu dia bela,” katanya kepada Astro AWANI.

Seorang lagi pengguna, Sharul Ngah berkata, seminggu sekali pasti akan ada kes kenderaan melanggar haiwan di lebuh raya tersebut.

“Memang ada haiwan yang melintas, kalau malam masalah sikitlah kepada pengguna jalan di sini.

“Sebab kes yang ada, memang selalunya boleh cakap seminggu mesti ada satu kes berkenaan dengan lembu atau haiwan yang datang dari hutan,” ujarnya.

Sementara itu, pemandu lori, Mohd Izuan Ismail berkata, dia memang bimbang setiap kali melalui lebuh raya itu.

“Bimbang itu memang ada, sebab risiko itu kena pada diri sendiri, bukan orang lain. Waktu malam memang paling bimbang sebab kita tak nampak kan,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews