fbpx

‘Tak faham sistem ranking, baik diam’

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata mana-mana individu perlu memahami proses dan sistem ranking terlebih dahulu sebelum mempertikai mengenai kedudukan skuad Harimau Malaya.

Malah, beliau yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, individu yang berada dalam kelab juga boleh memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembangunan dan ranking bola sepak negara ini.

“Nak tegur pasal isu kelab atau gaji boleh, tetapi nak tegur pasal ranking…kena faham proses dan sistem ranking dahulu.

“Nak memajukan bola sepak dan pasukan kebangsaan? Fokus kepada kelab anda. Kelab membangun, tahap liga dan infrastruktur bola sepak membangun, maka makin tinggi ranking pasukan kebangsaan.

“Sekarang duduk diam-diam dan kalau tak faham datang sini,” kata TMJ menerusi ruangan Instastory pada akaun Instagram miliknya.

Isu ranking skuad Harimau Malaya menjadi perdebatan hangat sebelum ini antara beberapa individu termasuk bekas pemain kebangsaan dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.

Semalam, BH Sukan melaporkan TMJ membidas individu yang ada jawatan dan pemilik kelab yang hanya tahu bercakap tanpa menyumbang sesuatu kepada bola sepak negara.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut kenyataan pedasnya itu ditujukan kepada siapa.

Menerusi hantaran pada Instagram sama, TMJ menganggap bola sepak negara sudah semakin meningkat termasuk dari segi persembahan skuad kebangsaan.

“Pasukan semua makin kompetitif dan proaktif. Ranking kebangsaan perlahan-lahan akan naik,” katanya.

“JDT dan Kedah dalam AFC akan memberi sumbangan kepada ranking skuad kebangsaan. Dulu hanya ada JDT sahaja dalam kejohanan AFC.

“Sekarang, Alhamdulillah ada Kedah dan Terengganu. Secara automatik ranking akan naik. Jadi yang ada ini nak publisiti dan tak tahu pasal bola baik diam saja.”

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts