KUALA LUMPUR: Untuk menempa nama sebagai seorang seniman atau seniwati yang masyhur, perkara itu tidak berlaku sekelip mata.
Perjalanan untuk sampai ke puncak kejayaan haruslah diiringi oleh 1,001 pengalaman atau cabaran.
Dan pengalaman serta cabaran itulah mencipta memori yang indah untuk dikenang selepas berdekad-dekad menghiburkan masyarakat melalui platform seni yang dipilih.
Kerana itu, apabila seniwati Datin Sofia Jane berkongsi pelbagai foto serta coretan pengalamannya selama lebih tiga dekad dalam gelanggang seni di akaun Twitter peribadinya, ramai yang menyifatkan, perkongsian itu sesuatu yang sangat istimewa dan amat manis sekali.
Dalam foto kenangan ini Sofia Jane (tiga dari kiri) bersama pengarah filem Sayang Salmah, Dr Mahadi J Murat (kanan) dan pelakon Sidi Oraza, Fauziah Nawi, Datuk Jalaluddin Hassan dan Norish Karman ketika mempromosi filem berkenaan di pawagam Cathay pada 1995.
Sofia jujur dalam penceritaannya. Koleksi foto peribadi yang dikongsinya pula mengingatkan sebilangan besar pencintanya terhadap jejak-jejak pendakiannya dalam bidang lakonan.
Dalam catatan imbas kembali (throwback) di akaun media sosial itu, pelakon berdarah kacukan Melayu – Inggeris itu bukan hanya berkongsi kisah klasik untuk dikenang beliau secara peribadi, namun, apa yang utama ialah nilai-nilai seorang anak seni yang kental dan begitu dedikasi terhadap kerjaya seninya di sebalik cerita itu yang wajar diberi tumpuan.
Astro AWANI menghubungi pelakon yang bakal menginjak usia 49 tahun pada 14 Februari ini, mengajaknya berkongsi apa sebetulnya yang mendorong beliau berkongsi foto dan cerita perjalanan seninya.
Sofia yang kini pulang ke tanah air dari Melbourne berkata, permulaan perkongsian itu bertitik tolak pada koleksi simpanan ibunya, Allahyarham Noreen Abdullah.
Kata Sofia, ibunya adalah tunggak kekuatan kejayaannya dalam bidang seni telah menyimpan sejumlah besar ‘khazanah’ berharga merangkumi pelbagai foto, keratan akhbar dan majalah serta rakaman drama-drama lakonannya.
Sebagai peminat nombor satu, Allahyarham Noreen mengambil usaha melakukan dokumentasi kerja-kerja seni Sofia sejak dari awal penglibatan anaknya itu dalam bidang lakonan.
Kata Sofia, beliau amat berterima kasih pada ibunya yang begitu teliti menyimpan koleksi berharga itu.
“Tujuan saya sekadar mahu mengembalikan memori atau nostalgia. Saya fikir, pengalaman bekerja di era dahulu harus dikongsi untuk memberi pendedahan kepada generasi baharu. Inilah juga yang saya anggap sebagai memorabilia saya,” kata aktres yang namanya melonjak di persada selepas membintangi filem Perempuan, Isteri dan … arahan U-Wei Haji Saari pada 1993.
Di set penggambaran filem Dunie Rees dan Ina bersama pelakon Deanna Yusof pada 1995.
Kata Sofia lagi, pengalaman dan ilmu yang diraihnya di era 1990-an masih tersimpan rapi di kotak fikirannya.
Menyedari masa tidak boleh diputarkan semula, maka, aktres filem Hanyut itu mengambil inisiatif berkongsi dengan peminat-peminatnya bagaimana jalinan kemesraan sesama rakan artis, wartawan dan peminat pada era berkenaan.
Ketika dunia komunikasi masih lagi bersifat konvensional, namun, kegembiraan dan kebahagiaan yang diraihnya serta rakan-rakan industri pada ketika itu, jelas Sofia, amat berharga.
Apa lagi ketika menerima kiriman surat atau poskad daripada peminat-peminat sehingga ada ketikanya berkarung-karung jumlahnya sesuatu yang tidak pernah diduga.
“Itulah media sosial kami. Melalui surat dan poskad hubungan dengan peminat terjalin. Segala-galanya terlalu sederhana, namun, semua itu terlalu indah untuk saya kenang,” kata Sofia yang mengakui hati kecilnya sangat tersentuh apabila mengenang kembali apresiasi peminat-peminatnya ketika itu.
Kenangan ketika menghadiri Pesta Komunikasi di Universiti Teknologi Mara (atau dahulu dikenali Institut Teknologi Mara) pada 1993.
Setiap kali duduk merenung dan meneliti satu persatu kenangan-kenangan silam itu, kata Sofia, beliau amat berterima kasih kepada dunia lakonan yang menawarkannya pengalaman yang terlalu berharga untuk dikenang dan dikongsi dengan anak-anak dan cucu-cunya kelak.
“Saya menjadi pelakon pada usia sangat mentah iaitu 17 tahun. Apa sangatlah yang saya tahu mengenai dunia lakonan. Namun, saya tidak pernah jemu belajar dan menimba pengalaman.
“Kerana itu, saya kongsi di Twitter pengalaman-pengalaman indah itu. Semua terlalu istimewa dan terlalu peribadi buat saya,” kata seniwati yang pernah membintangi hampir 20 buah filem, puluhan drama serta teater ini lagi.
Kenangan Sofia Jane pada 1992 ketika menjalani penggambaran filem Perempuan, Isteri dan … di Pekan, Pahang bersama U-Wei (dua dari kiri) dan Jet (penolong pereka kostum) dan Ramli yang memegang watak pengapit pengantin.
Sumber: Astro AWANI