fbpx

Wanita rugi RM81,133 ditipu sindiket Macau Scam

KUANTAN: Seorang wanita di Lipis kerugian RM81,133 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis, memaklumkan kononnya mangsa perlu menjelaskan tunggakan cukai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian pada 24 Januari lalu berlaku apabila mangsa berusia 36 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai selama 15 bulan sebanyak RM38,600.90 kerana menubuhkan sebuah syarikat.

“Bagaimanapun, mangsa menafikan dakwaan itu dan bagi menyelesaikan masalah berkenaan, panggilan kemudian disambungkan kepada pegawai LHDN di Cyberjaya yang kononnya pegawai operasi cukai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas bercakap dengan pegawai operasi cukai itu, panggilan mangsa disambung pula kepada pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Suspek memberitahu panggilannya akan disambung kepada Inspektor Azman sebelum wanita itu mengemukakan segala maklumat kepada suspek bagi membantunya membuat laporan polis sehingga selesai.

“Selepas semakan dibuat, suspek memberitahu mangsa terbabit kes pengubahan wang haram membabitkan wang RM228,000 menggunakan akaun didaftarkan menggunakan namanya.

“Suspek menawarkan diri menyelesaikan masalah ini sebelum mangsa menyerahkan maklumat akaun banknya kepada lelaki itu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengakses semula akaunnya secara dalam talian, mendapati berlaku beberapa pemindahan wang dalam akaun itu.

“Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis semalam. Modus operandi sindiket ini adalah memperdayakan mangsa dengan menyamar pegawai LHDN dan polis sehingga mendorong wanita itu membuat bayaran hingga kerugian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts