MENONTON filem Perancis berjudul Lupin, sebenarnya menimbulkan banyak kesedaran betapa banyak perkara yang boleh dipelajari dan dipraktikkan pembikin filem Malaysia untuk menghasilkan karya unggul.
Baik dari segi pengarahan, sinematografi, kesan bunyi, lakonan dan banyak lagi perkara boleh diambil dan dijadikan teladan mahupun rujukan.
Mempamerkan lakonan cemerlang terutama bintang utamanya, Omar Sy, penulis merasakan Lupin antara siri terbaik pernah diterbitkan Netflix.
Masakan tidak, dalam tempoh 28 hari selepas dilancarkan, Lupin yang turut dibintangi Ludivine Sagnier, Clotilde Hesme dan Vincent Londez meroket sebagai siri paling laris laman penstriman paling popular dunia itu memintas Queen’s Gambit dan Bridgerton.
Apa yang menarik sangat tentang Lupin? Lupin berkisarkan pencuri profesional bernama Assane Diop, anak kepada seorang imigran berasal dari Senegal yang ingin menebus kematian bapanya, Babakar yang dituduh mencuri rantai berharga berpuluh juta oleh usahawan berpengaruh, Hubert Pellegrini.
Karakter
Jika boleh diberikan markah penuh untuk karya tersebut, penulis tidak akan teragak-agak berbuat demikian. Bercakap tentang aspek yang perlu diberikan perhatian untuk penghasilan sesebuah karya, Lupin mengisi semua kelompongan, termasuklah terjemahan karakter, sinematografi, efek bunyi dan paling penting ‘faktor X’ membezakan siri berkenaan dengan lambakan siri lain dalam Netflix mahupun platform lain.
Pemilihan Omar sebagai watak utama iaitu Assane sangat bertepatan dengan mesej yang ingin dibawa dalam siri ini. Omar sangat bermisteri, bijak, budiman dan bijak bermain emosi yang memerlukan dirinya menyamar pelbagai karakter.
Penulis kagum dengan permainan karakter dan mimik muka Omar yang sangat berkelas papan atas. Dia epitome aktor ‘underdog’ yang menunggu masa untuk meletus dengan banyak lagi ruang dan peluang yang akan diterokai dari semasa ke semasa.
Menyentuh tentang sinematografi, penulis juga ‘terduduk’ dengan permainan kamera siri ini. Sangat berkualiti! Dramatik, namun pada masa sama membuatkan penonton khayal dengan keasyikan dan perincian teliti.
Kesempurnaan
Syabas buat George Kay dan François Uzan serta pasukan untuk kualiti kerjaya yang sangat hebat.
Itu belum lagi soal efek bunyi. Semacam semua perincian yang menjadikan sesuatu karya itu sempurna, mengalir dengan semula jadi, sekali gus memacu adrenalin penonton sederas-derasnya untuk terus fokus menghayati babak demi babak.
Itu apa yang penulis rasa saat menghabiskan siri ini secara ‘one go’ tanpa perlu melengah-lengahkan masa kerana mata tertancap terhadap 110 peratus terhadap apa yang dihidangkan.
Komitmen yang ditonjolkan barisan pelakon lain juga tidak berbelah bahagi. Sebagai contoh watak kekasih Assane, Claire dikembangkan dengan begitu baik walaupun secara teknikalnya, dia tidak terlibat dengan urusan Assane yang handal dengan pelbagai kemahiran.
Begitu juga dengan watak seorang wartawan senior yang kerjaya kewartawanannya musnah kerana cuba menegakkan kebenaran, namun dipatahkan usahanya oleh Pellegrini.
Penulis terpikat dengan pertalian yang cuba diwujudkan antara Assane dengan wanita tersebut, sangat memberi kesan!
Senang cerita, jika sesiapa yang membaca tulisan ini dan masih belum menonton Lupin, silalah habiskan sedikit masa menyaksikan karya yang berani penulis sifatkan antara karya terbaik.
Seperkara lagi, ini bukan karya Hollywood, sebaliknya milik orang Perancis.
Untuk mana-mana pembikin filem mahu ‘menjual’ karya bergenre misteri thriller, Lupin adalah rujukannya.
Kaya dengan kualiti, tidak lokek aksi namun tidak terlalu berlebihan, lakonan yang mantap dan urusan teknikal yang duduk cermat atas landasan.
Rasanya, tidak sabar lagi menanti lima episod seterusnya yang dikhabarkan bakal terbit dalam masa terdekat!
Source: Kosmo!