fbpx

Jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera sudah dituntut keluarga kandung

JASIN: Jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, di sini, sudah dituntut dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka, pagi ini.

Jenazah mangsa sedang dalam perjalanan dibawa pulang ke kediaman keluarga neneknya di Kampung Simpang Bekoh, di sini, untuk disembahyang dan dikebumikan.

Tinjauan di kediaman keluarga ibu kandungnya di Taman Kasturi, Simpang Bekoh, bagaimanapun mendapati rumah itu tiada kelihatan kelibat orang ramai atau saudara-mara, sebaliknya hanya kedengaran alunan ayat suci al-Quran.

Sementara itu, sumber keluarga angkat kanak-kanak berkenaan memaklumkan, keluarga ibu kandungnya bertegas untuk mengebumikan jenazah mangsa di kampung ibunya.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai antara kedua-dua keluarga, lewat malam tadi.

“Kita akur jika pihak keluarga kandung kekal dengan keputusan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Chabau, di sini, Rosli Ibrahim, memaklumkan sebuah van jenazah dari masjid berkenaan akan membantu membawa jenazah kanak-kanak itu untuk dikebumikan.

“Kerja menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar yang terletak kira-kira 100 meter dari kediaman keluarganya juga sudah dilakukan, semalam, selepas diminta oleh pihak keluarga terbabit,” katanya.

Jenazah dijangka dibawa ke Surau As-Syakirin, Simpang Bekoh, untuk disembahyangkan dan dikebumikan sebelum zuhur.

Sebelum ini, proses bedah siasat mayat kanak-kanak itu bermula kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum selesai jam 10 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, mengesahkan ada pelbagai kecederaan, termasuk luka baharu dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews