fbpx

Kerani rugi RM68,700 ditipu sindiket menyamar pegawai LHDN

MELAKA: 2 Feb — Seorang kerani kerugian RM68,700 akibat ditipu sindiket Macau Scam, yang menyamar sebagai pegawai operasi cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari Cyberjaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata, wanita berumur 40 tahun yang menetap di Krubong di sini itu, menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Noraina Azlan, semalam dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai syarikat di Kuantan, Pahang sebanyak RM38,690.

“Mangsa dipercayai menafikan dakwaan tersebut, bagaimanapun talian disambungkan kepada individu yang kononnya ‘Sarjan Roslan’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bagi membuat aduan. Individu terbabit meminta butiran kad pengenalan mangsa untuk membuat semakan.

“Selepas itu, mangsa dimaklumkan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan pengubahan wang haram sebelum taliannya disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘ACP Datuk Wazir’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata individu itu pula meminta mangsa memuat turun aplikasi ‘MYBNM’ melalui Google untuk mengisi butiran akaun bank bagi tujuan siasatan dan pada masa sama lelaki itu memberi mesej WhatsApp dengan mengarahkan wanita itu menyerahkan Kod Kebenaran Transaksi (TAC) yang diterimanya.

Katanya mangsa tanpa curiga telah menyerahkan nombor TAC berkenaan kepada suspek, namun wanita itu mula sedar dirinya ditipu setelah menerima pesanan ringkas dari pihak bank menyatakan terdapat pindahan wang daripada akaun miliknya.

“Mangsa telah menghubungi tiga institusi perbankan dan diberitahu pindahan wang tidak berjaya dilakukan tetapi terdapat pindahan wang dari akaun HSBC Bank Malaysia Bhd milik mangsa melibatkan sembilan transaksi berjumlah RM68,700 ke dalam akaun pihak ketiga,” katanya.

Menurut beliau mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Tengkera di sini, semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Sundra Rajan berkata hasil semakan awal, mendapati nombor telefon yang digunakan suspek didapati terlibat dengan 14 laporan menggunakan modus operandi sama terhadap 14 mangsa dengan kerugian yang dialami secara kumulatif mencecah RM492,950.50.

“Justeru, orang ramai disarankan agar membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun bank di laman https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang urusan selain tidak mudah percaya dengan individu yang menyamar sebagai pihak LHDN atau mana-mana pihak yang diragui,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews