MARANG: 2 Feb — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap dua ekor beruang jantan di Kampung Pengkalan Berangan, di sini dan Kampung Batu Tiong, Dungun, yang dipercayai berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk.
Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata tangkapan kedua-dua beruang matahari itu merupakan yang pertama tahun ini, susulan aduan penduduk.
“Beruang seberat 70 kilogram (kg) ditangkap di Kampung Pengkalan Berangan awal pagi tadi, yang dipercayai datang dari hutan berhampiran.
“Seekor lagi beruang seberat 80 kg ditangkap di Kampung Batu Tiong, Dungun, malam tadi. Beruang itu masuk ke perangkap yang disediakan Perhilitan pada Ahad lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dr Abdul Malek berkata kedua-dua haiwan itu akan dilepaskan ke habitat yang sesuai di Taman Negara Terengganu tidak lama lagi.
Beliau turut menasihati penduduk agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan mana-mana haiwan liar, sebaliknya segera membuat aduan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ali Yusof, 61, seorang pesara guru dari Kampung Pengkalan Berangan meluahkan rasa lega apabila beruang yang sering merosakkan log madu kelulut miliknya sejak 15 Jan lepas akhirnya berjaya ditangkap Perhilitan.
Ali berkata beliau kerugian hampir RM10,000 apabila 16 log madu kelulut yang dipelihara di belakang rumahnya rosak akibat serangan haiwan liar tersebut.
“Setiap log itu saya beli antara RM500 hingga RM800 malah madu kelulut yang ada di dalam log itu juga tidak dapat dijual setelah dimakan beruang tersebut.
“Selain madu kelulut, pokok kelapa yang ditanam di kebun penduduk kampung turut dirosakkan beruang, mujurlah Perhilitan bertindak pantas dengan memasang perangkap selepas aduan dibuat 28 Jan lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sumber: BERNAMA