fbpx

Netizen pertikai kenapa Nora dapat Datuk

Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Nora Ariffin mengakui tidak terasa hati atau ambil kisah dengan kecaman netizen yang menyifatkannya tidak layak menerima gelaran Datuk berbanding dua penerima lain iaitu Yusry Abdul Halim dan Habsah Hassan.

Nora, 48, berkata, dia sebaliknya amat menghargai kurniaan terbesar yang diterima dalam hidupnya ini.

“Saya hanya boleh katakan ia adalah pengiktirafan dari Kementerian Wilayah Persekutuan dan dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Penganugerahan ini lebih bermakna kerana ia adalah pengiktirafan dari Yang di-Pertuan Agong sendiri. Saya amat gembira,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Nora,  Yusry (KRU) dan Habsah dilaporkan antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan semalam.

Mereka masing-masing menerima kurniaan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membawa gelaran Datuk.

Berkongsi perasaannya, Nora menyifatkan ia rezeki dari Allah dan pemberi semangat untuknya terus aktif berkarya.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah di atas kurniaan dan anugerah ini. Saya sangat terharu dan gembira diberi penghargaan sebagai anak seni selepas 30 tahun berjuang dengan Allahyarham suami, Johan Nawawi dalam industri seni tanah air sejak tahun 1991 hingga 2012.

“Anak-anak saya, Mohd Syakir Iman, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fateha sememangnya sangat teruja dan gembira.

“Malah semua keluarga dan rakan-rakan turut mengucapkan tahniah,” katanya.

Menurutnya, sepanjang pembabitan dalam bidang seni, dia tidak pernah terfikir untuk mendapat apa-apa anugerah.

“Kami ikhlas bekerja dan berjuang. Kami berjuang untuk muzik, industri seni, untuk peminat malah untuk ummah juga,” katanya.

Allahyarham suaminya, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017, manakala seorang anaknya, Mohd Syakir Alif meninggal dunia pada 14 Disember 2019.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews