KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek mengharapkan barisan jurulatih perseorangan lelaki negara dapat menyediakan latihan yang lebih ‘keras’ kepada jaguh perseorangan, Lee Zii Jia dalam usaha mengembalikan semula ‘taringnya’.
Pandangan Rashid itu berpandukan tiga kejohanan di Bangkok, Thailand bulan lalu yang menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu tidak menemui sentuhannya dengan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann kelmarin menyatakan kejohanan berkenaan bukan ukuran sebenar bagi menilai pemainnya kerana sebelum ini hanya berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun bagi Rashid, alasan itu tidak boleh diterima sedangkan pasukan dari negara lain turut melakukan latihan masing-masing dan ini menunjukkan betapa barisan kejurulatihan perlu menambahbaik latihan sedia ada dan sekiranya tidak berhasil pada kejohanan seterusnya, maka tiada lagi pilihan selain menukar jurulatih.
“Pada saya, yang penting adalah pemain itu sendiri dan persiapan daripada jurulatih. Tak ada kata 10 bulan tiada kejohanan atau apa-apapun. Pada saya itu tak patut timbul sebab satunya, mereka ini bukan satu dua kali bermain di kejohanan antarabangsa malah pernah bergelar juara.
“Tahap mereka sudah tinggi, cuma mungkin daripada (program) latihan itu… mungkin sekadar mencukupi saja. Kita rasa intensiti latihan sudah begitu cukup tetapi negara lain tahap intensiti latihannya lebih tinggi. Lagi keras, lagi padu. Jadi sekarang, latihan mereka mungkin perlu dilipat gandakan.
“Sekiranya latihan betul kuat dan padu, maka ia sudah mempersiapkan mental dan fizikal. Kalau fizikal kuat, sudah pasti mental pun tahan dan secara automatiknya ia akan melatih mental kita. Jadi mungkin latihan itu tak berapa keras lagi.
“Ia bukan berkaitan dengan kekuatan mental atau tidak tetapi persiapan dalam latihan itu sendiri daripada skil, kecergasan, bermain rali panjang dan pertahanan. Kalau semua itu dapat dibuat dengan baik, tak akan timbul isu mental kuat atau tidak kerana kalau betul-betul bersedia, nak main rali pun boleh, nak main menyerang pun boleh, nak bertahan juga boleh.
“Semua boleh, seperti Datuk Lee Chong Wei, semua beliau boleh lakukan sehinggakan lawan jadi pening kepala. Jadi sekiranya latihan itu keras, apabila memasuki gelanggang itu (perasaan) sedikit berbeza kerana ‘bekalan’ (daripada latihan) yang dibawa bagus.
“Seperti kita nak pergi jalan jauh, sudah tentu kita kena bawa banyak bekalan. Jadi bagi saya, masalah yang ada sekarang ini adalah latihan kepada dia itu mencukupi,” kata Rashid.
Sebelum ini, BH Sukan melaporkan kebimbangan ramai mengenai prestasi Zii Jia dengan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock berpandangan Hendrawan wajar diberikan satu lagi peluang namun sekiranya prestasi pemain berkenaan masih di takuk lama, maka BAM harus mengambil tindakan termasuk menukar jurulatih berkenaan.
Pandangan itu turut dipersetujui Rashid dengan berkata: “Mungkin ada bagus, ada tak bagus kalau menukar jurulatih. Namun kalau tukar pun, Zii Jia pernah berada di bawah Misbun (Datuk Misbun Sidek) dan ada pengalaman di bawah kendaliannya. Beliau (Misbun) pun mungkin tahu bagaimana permainannya dan di mana perlu diperbaiki sebab Misbun menjaganya dari bawah lagi.
“Tapi tengok kepada perancangan BAM selepas ini. Kita tak boleh menghukum berdasarkan kejohanan ini. Antara punca dikatakan, kerana 10 bulan tak ada kejohanan, OK kita terima alasan itu, tapi kalau pada kejohanan seterusnya tidak menunjukkan prestasi, maka bersiap sedialah (untuk menilai mengenai pertukaran jurulatih).
“Kalau kita lihat, pemain Denmark, Peter Axelsen pun melakukan pembedahan kerana kecederaan dialaminya sebelum ini. Berapa lama dia berehat tetapi (di Bangkok) dia dapat dua gelaran dan satu final (naib juara),” katanya.
Sumber: Berita Harian