fbpx

Nasib badan

Foto: insidethegames

KUALA LUMPUR: Pemain beregu berpengalaman, Vivian Hoo tidak menyangka Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil tindakan drastik menggugurkannya daripada skuad negara ketika masih ada misi belum selesai dilunaskannya.

Pemenang tiga pingat emas temasya Komanwel itu mengakui terkejut dengan berita pengguguran itu, namun dia tidak berputus asa dan berharap BAM memberikannya peluang menyertai sirkit kejohanan di Eropah, misi terakhir untuk mengutip mata ke temasya Olimpik.

Berpasangan bersama Yap Cheng Wen ketika beraksi di tiga kejohanan di Bangkok termasuk Jelajah Dunia Akhir, Vivian berkata, dia mahu menghantar surat kepada BAM untuk mengemukakan rayuan bagi membenarkannya beraksi di Eropah.

“Saya tidak jangka terima keputusan ini. Memang saya terfikir untuk bersara selepas tamat Olimpik. Layak atau tidak beraksi di Olimpik saya ada merancang bersara.

“Tapi BAM pula memberikan perkhabaran ini terlalu cepat ketika saya masih rasa ada misi belum selesai.

“Saya berharap BAM beri peluang kepada saya menyertai sirkit di Eropah kerana sekurang-kurang ada penamat jelas dalam karier saya,” katanya yang berusia 31 tahun Mac depan.

Barisan pemain badminton negara dijangka menyertai Terbuka Jerman dan Switzerland, kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 300 dan kejohanan pertama yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Meraih pingat perak di kejohanan Asia 2010 di New Delhi dan gangsa Sukan Asia Incheon, Korea 2014, dia turut mara sehingga ke suku akhir temasya Olimpik Rio 2016 berpasangan dengan Woon Khe We.

Dia yang turut menyumbangkan emas dalam acara beregu wanita di Sukan Sea Myanmar pada 2013 kini menghuni ranking ke-17 dunia bersama Cheng Wen dan berada di belakang satu lagi beregu negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang menduduki ranking ke-10 dunia.

Terdahulu BAM dalam satu kenyataan semalam mengumumkan tindakan penyingkiran sembilan pemain membabitkan lima pemain senior dan empat pemain dalam skuad pelapis.

Mereka adalah Goh Soon Huat, Shevon Lai, Lai Pei Jing (beregu campuran), Soniia Cheah (perseorangan wanita) dan Vivian (beregu wanita) apabila mereka kini tidak lagi bernaung di bawah BAM.

Selain barisan pemain senior itu, BAM turut melepaskan Ter Chun Long, Low Eu Cong (perseorangan lelaki) dan Ching Kai Feng, Ooi Jhy Dar (beregu lelaki).

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts